Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

52) BANTUAN KEPADA SEKOLAH SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA DAN TAMIL

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. berapa banyak sekolah-sekolah yang telah memperoleh bantuan? Sila jumlahkan mengikut kategori

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan penyediaan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK(C)] dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil [SJK(T)].

    JPN Selangor  menguruskan bantuan yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk semua sekolah di Negeri Selangor termasuklah SJKC dan SJKT. Antara bantuan yang diuruskan ialah :

    1. Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM )
    2. Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah

    (PSS)

     

    1. Bantuan Awal Persekolahan (BAP) – semua murid layak menerima

     

    Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM )

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang diselaraskan oleh Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan syarat   yang dipertimbangkan untuk menerima bantuan ini adalah berdasarkan kriteria berikut :

    1. Warganegara Malaysia
    2. Bersekolah di sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia
    3. Gaji Ketua Isi rumah (KIR) berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan  (PGK) 2022

     

    Bil Pendapatan  Garis Kemiskinan (PGK) 2022 (RM) Perkapita 2022 (RM) Bantuan
    1 1198.00 322.00 1. KWAPM

    Berdasarkan kriteria di atas pihak JPN Selangor telah memproses nama permohonan yang diisi oleh sekolah melalui Aplikasi Bantuan (APB) bagi tahun 2024 ini. Untuk makluman Yang Berhormat Aplikasi ini telah diwujudkan bagi memproses segala permohonan bantuan berdasarkan maklumat yang telah diberi oleh ibubapa atau penjaga murid melalui Aplikasi Data Murid (APDM).

    Semua sekolah SJKC dan SJKT telah membuat permohonan melalui Aplikasi Bantuan (APB) . Jumlah keseluruhan murid yang telah disahkan permohonan bagi SJKC dan SJKT adalah seramai 8,958 orang.Berikut adalah jumlah mengikut PPD.

    Bil PPD Jumlah Murid Pemohon (SJKC + SJKT) Jumlah peruntukan

    (RM150.00/murid)

    1 Klang 1887 orang 283,050.00
    2 Petaling Utama 536 orang 80,400.00
    3 Petaling Perdana 861 orang 129,150.00
    4 Sabak Bernam 363 orang 54,450.00
    5 Hulu Selangor 800 orang 120,000.00
    6 Hulu Langat 964 orang 144,600.00
    7 Kuala Langat 999 orang 149,850.00
    8 Gombak 891 orang 133,650.00
    9 Kuala Selangor 1157 orang 173,550.00
    10 Sepang 500 orang 82,500.00
    Jumlah keseluruhan 8958 orang 1,343,700.00

     

    Untuk Makluman YB setiap murid akan menerima secara “one off” RM 150.00 yang dibayar kepada pelajar seperti berikut :

    1. Wang tersebut akan dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) setiap sekolah mengikut bilangan permohonan yang diluluskan.
    2. Pihak sekolah perlu menyerahkan wang bantuan tersebut kepada ibu bapa/penjaga dalam tempoh 30 hari dari tarikh peruntukan diterima oleh pihak sekolah.
    3. Ibu bapa /penjaga hendaklah menandatangani Borang Akuan Penerimaan Bantuan KWAPM setelah menerima wang tunai sebagai bukti penerimaan.Borang tersebut hendaklah dikemukakan kepada PPD untuk pengesahan.Jika wang dikredit terus ke akaun bank murid, borang Akuan Penerimaan KWAPM tidak perlu ditandatangani.

    Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

    Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ini merupakan bantuan makanan tambahan kepada murid yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 iaitu Pendapatan seisi rumah RM 1169.00 dan perkapita RM 310.00. Program ini juga diberikan kepada murid pendidikan Khas (PPKI) dan juga murid yang bersekolah di Sekolah jenis (Asli).

    Pelaksanaan program ini bertujuan menyediakan makanan berkhasiat yang mengandungi nutrisi seimbang kepada murid bagi membantu mereka memberi tumpuan kepada pembelajaran di sekolah.

    Keseluruhan murid yang terlibat adalah sebanyak 8442 orang murid daripada 210 buah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil) negeri Selangor yang terlibat dengan program ini. Berikut merupakan pecahan kepada data penerima yang layak.

    1. BILANGAN SEKOLAH
    BIL JENIS SEKOLAH BILANGAN SEKOLAH (BUAH) JUMLAH PERUNTUKAN (RM)
    1 Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) 111 1,758,925.00
    2 Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) 99 3,855,005.00
      Jumlah besar 210 5,613,930.00

     

    1. BILANGAN PENERIMA YANG LAYAK MENGIKUT TAHUN
    BIL JENIS SEKOLAH SJKC SJKT PERUNTUKAN (RM)
    1 Tahun 1 290 1,590 1,250,200.00
    2 Tahun 2 276 655 619,115.00

     

    3 Tahun 3 327 787 740,810.00

     

    4 Tahun 4 384 805 790,685.00

     

    5 Tahun 5 401 918 877,135.00

     

    6 Tahun 6 465 931 928,340.00

     

    7 Pendidikan Khas 502 111 407,645.00

     

      Jumlah besar 2645 5797 5,613,930.00

     

     

    1. BILANGAN PENERIMA YANG LAYAK MENGIKUT SEKOLAH
    BIL JENIS SEKOLAH BILANGAN MURID (ORANG) JUMLAH PERUNTUKAN (RM)
    1 Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) 2645 1,758,925.00
    2 Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) 5797 3,855,005.00
      Jumlah besar 8442 5,613,930.00

     

    Peruntukan dan bantuan Infrastuktur

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan penyediaan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK(C)] dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil [SJK(T)]. JPN Selangor sentiasa komited dalam memastikan semua aset dan infrastruktur di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Selangor sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat dan kondusif untuk keselesaan warganya. Justeru, KPM melalui belanjawan tahunan telah menerima peruntukan bagi menyelenggara institusi pendidikan berstatus sekolah dan bukan sekolah, termasuklah Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK). Bagi memastikan permohonan sumbangan bantuan tahunan SBK ini diuruskan dengan cekap dan teratur selaras dengan Akta Pendidikan 1966 (Akta 550) dan semua arahan serta peraturan berkaitan yang berkuat kuasa dan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) bagi SBK telah dipelawa untuk memohon sumbangan bantuan tahunan yang disediakan dengan mematuhi panduan, tatacara serta syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pemohon mestilah merupakan LPS yang mempunyai permit yang masih berkuatkuasa dan diakui sah. Sumbangan bantuan ini adalah dikhususkan bagi tujuan senggara, ubah suai dan naik taraf aset tak alih (ATA), di mana ianya tidak dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan:

     

    (i)             pembinaan baharu;

    (ii)            pembelian perkakasan, peralatan, perabot dan kenderaan; dan

    (iii)      pembayaran sewa, pembayaran kos utiliti dan sebagainya yang tidak berkaitan dengan skop senggara, ubah suai dan naik taraf aset tak alih (ATA).

     

    Bagi tahun 2024, butiran kelulusan penyaluran sumbangan bantuan khas oleh KPM kepada SBK di bawah JPN Selangor, termasuk SJK(C) dan SJK(T) adalah seperti berikut:

     

    Bil. Kategori SBK Bilangan Sekolah Jumlah Peruntukan (RM)
    1. SJK(C) 50 2,549,320.80
    2. SJK(T) 53 3,009,200.00
    3. SABK 24 1,505,200.00
    4. SMK (Conforming/ Mubaligh) 12 695,000.00
    5. SK (Mubaligh) 13 758,930.00
    Jumlah Keseluruhan 152 8,517,650.80

     

    Bagi lain-lain sekolah SJK(C) dan SJK(T) yang berstatus Sekolah Kerajaan pula, tanggungjawab ke atas permohonan bagi pelaksanaan projek operasi, selenggara, pemulihan, pemuliharaan, ubah suai dan naik taraf (OSPPUN) adalah di bawah KPM, JPN dan PPD serta Jabatan Teknikal yang berkaitan.

     

    Butiran SJK(C) dan SJK(T) berstatus Sekolah Kerajaan yang telah menerima peruntukan bagi projek OSPPUN pada tahun 2024 adalah seperti berikut:

     

    Bil. Kategori Sekolah Kerajaan Bilangan Sekolah Jumlah Peruntukan (RM)
    1. SJK(C) 63 2,394,000.00
    2. SJK(T) 34 1,292,000.00
    Jumlah Keseluruhan 97 3,686,000.00
  2. Bagaimanakah cara bagi memastikan peruntukkan yang disalurkan benar-benar dimanfaatkan untuk tujuan permohonan?

    Bagi memastikan peruntukan yang disalurkan benar-benar dimanfaatkan untuk tujuan permohonan, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), KPM telah menyediakan satu mekanisme kawalan, pelaksanaan dan pemantauan ke atas peruntukan yang diluluskan untuk disalurkan kepada LPS, di mana ianya turut melibatkan peranan dan tanggungjawab di peringkat BPA, JPN, PPD serta LPS sendiri.

     

    Tanggungjawab LPS telah dinyatakan dengan jelas melalui surat pelawaan permohonan sumbangan bantuan seperti berikut:

     

    (i)         LPS perlu mengemukakan permohonan sumbangan bantuan mengikut peraturan yang ditetapkan;

    (ii)  LPS bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan permohonan, perolehan, pelaksanaan dan pemantauan berkaitan peruntukan sumbangan bantuan. Semua rekod berkaitan dalam urusan permohonan, perolehan, pelaksanaan dan pemantauan tersebut perlu disediakan dan disimpan oleh LPS bagi tujuan pemantauan dan pengauditan, sekiranya ada dan perlu;

    (iii)        LPS bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan SBK sepertimana yang ditetapkan dalam suratcara pengelolaan masing-masing;

    (iv)    LPS perlu mewujudkan tatacara perolehan bagi memastikan proses perolehan dilaksanakan dengan teratur serta mematuhi tatacara perolehan yang ditetapkan oleh LPS dalam menentukan pelantikan kontraktor; dan

    (v)      LPS perlu memastikan syarikat yang dilantik adalah berwibawa serta berkeupayaan untuk melaksanakan dan menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan. Tawaran harga yang dipilih hendaklah berdasarkan nilai faedah terbaik.

     

    Seterusnya, sebaik sahaja peruntukan bagi maksud sumbangan bantuan kepada SBK telah disalurkan kepada LPS, LPS dikehendaki untuk mematuhi perkara-perkara seperti berikut:

     

    (i)             mengemukakan akuan penerimaan sumbangan bantuan kepada PPD;

    (ii)         sumbangan bantuan yang disalurkan adalah bersifat one-off dan perlu dibelanjakan pada tahun semasa;

    (iii)        skop projek yang diluluskan adalah senggara, ubahsuai dan naik taraf Aset Tak Alih (ATA) seperti mana yang dinyatakan dalam Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2021 – Tatacara Pengurusan Aset Tak Alih Kerajaan;

    (iv)          pelaksanaan dan pemantauan projek adalah di bawah tanggungjawab

    LPS;

    (v)          LPS perlu mematuhi tatacara perolehan yang ditetapkan oleh LPS dalam menentukan pelantikan kontraktor;

    (vi)         Syarikat yang dilantik oleh LPS untuk melaksanakan projek perlu berdaftar dengan CIDB dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PKK);

    (vii)     Sebarang pindaan terhadap kelulusan skop kerja perlu dikemukakan untuk keputusan di peringkat PPD;

    (viii)      LPS perlu mengemukakan prestasi kerja dan belanja yang disertakan dengan gambar sebelum, semasa dan selepas projek kepada PPD sehingga kerja dan perbelanjaan disempurnakan;

    (ix)        LPS perlu mengemukakan laporan penuh kepada PPD dalam tempoh satu (1) bulan selepas projek siap; dan

    (x)            KPM, JPN dan/ atau PPD berhak untuk melaksanakan pemantauan ke atas projek di mana-mana SBK, sekiranya perlu.

     

    Kegagalan LPS untuk mematuhi garis panduan dan arahan ini boleh menyebabkan LPS dan SBK hilang kelayakan untuk menerima sumbangan bantuan pada masa akan datang dan lain-lain tindakan yang diputuskan oleh KPM.

Lampiran

Tiada Lampiran.