Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
37) KADAR PENGANGGURAN SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kadar pengangguran di Negeri Selangor sejak tahun 2017?
Soalan (a) dan (b) dijawab bersekali.
Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, bagi tempoh 2017 hingga 2022, kadar pengangguran di negeri Selangor yang direkodkan oleh Jabatan Perangakaan adalah antara 2.8% hingga 4.3%. Berdasarkan statistik terkini pada suku tahun pertama 2024, kadar pengangguran di negeri Selangor adalah sebanyak 2.0%, iaitu berkurang sebanyak 0.6% berbanding suku tahun sebelumnya dan merekodkan sejumlah 79,300 penganggur. Hal ini menunjukkan bahawa ekonomi di negeri Selangor masih dapat dikekalkan dalam keadaan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah 4.0%.
-
Adakah kadar pengangguran di Negeri Selangor berada di tahap yang sihat?
Soalan (a) dan (b) dijawab bersekali.
Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, bagi tempoh 2017 hingga 2022, kadar pengangguran di negeri Selangor yang direkodkan oleh Jabatan Perangakaan adalah antara 2.8% hingga 4.3%. Berdasarkan statistik terkini pada suku tahun pertama 2024, kadar pengangguran di negeri Selangor adalah sebanyak 2.0%, iaitu berkurang sebanyak 0.6% berbanding suku tahun sebelumnya dan merekodkan sejumlah 79,300 penganggur. Hal ini menunjukkan bahawa ekonomi di negeri Selangor masih dapat dikekalkan dalam keadaan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah 4.0%.
-
Apakah usaha kerajaan bagi mengawal atau mengurangkan kadar pengangguran?
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha membantu rakyat Selangor yang tiada atau kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan sumber pendapatan. Salah satu daripadanya adalah dengan penubuhan Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja pada tahun 2021 yang berperanan untuk membantu Kerajaan Negeri dalam usaha mengatasi masalah pekerja yang kehilangan pekerjaan khususnya semasa wabak pandemik Covid-19. Di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, satu unit yang dikenali sebagai Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) telah ditubuhkan untuk membantu Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dalam melaksanakan program-program bagi membantu rakyat Negeri Selangor khususnya pekerja yang telah kehilangan pekerjaan dalam mendapatkan bimbingan dan latihan. Selaras dengan objektif penubuhan UPPS di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, Kerajaan Negeri telah banyak membantu rakyat di negeri ini untuk mendapatkan kembali pekerjaan melalui penganjuran program – program dengan kerjasama beberapa Jabatan, agensi dan Badan – Badan Bukan Kerajaan. Secara dasarnya, terdapat dua (2) sektor utama di bawah UPPS iaitu:
- Sektor Pemberdayaan & Hak Pekerja
- Sektor Pembangunan
Sejak awal penubuhan, UPPS telah berjaya menjalankan beberapa program serta menjalinkan usahasama strategik bersama pelbagai agensi / persatuan/ institusi pengajian yang berkaitan. Antara program-program besar yang mengkhususkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Selangor yang telah dilaksanakan seperti berikut:
- Program Jelajah Jobcare (Program pameran kerjaya yang dilaksanakan di setiap daerah) ;
- Program Gigcare – 1,000 (Membantu seramai 1,000 orang dalam kalangan pekerja perkhidmatan Gig bagi membiayai caruman perlindungan di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk tempoh setahun serta memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan perlindungan PERKESO bagi menjamin masa depan mereka dan seisi keluarga ;
- Program Jaminan Kerja Selangor (Program berkonsepkan pameran kerjaya dengan usahasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA)) ;
- Program Bike Care-1,000 (Membantu menggalakkan rakyat di negeri Selangor untuk menjana pendapatan di bawah ekonomi Gig) ; dan
- Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Institusi Pengajian Tinggi.
Sehubungan itu, atas keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, UPPS juga telah berjaya mewujudkan satu laman sesawang rasmi bagi memudahkan pencarian pekerjaan kepada para penganggur dengan lebih efektif. Laman sesawang ini secara rasminya telah dilancarkan pada bulan Oktober 2022 yang dipantau oleh UPEN dan UPPS. Walau bagaimanapun, laman sesawang ini sedang diselenggara buat sementara waktu dan akan mula beroperasi semula dalam tempoh terdekat.
Bagi penggal yang baharu, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja telah dimansuhkan dan digantikan kepada Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dimana objektif penubuhan serta peranan diperluas dalam pelbagai sudut untuk membangunkan dan melahirkan pekerja yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh negara ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja disamping menyelesaikan permasalahan pekerjaan rakyat Negeri Selangor khususnya individu yang dikategorikan sebagai golongan rentan seperti warga emas, ibu tunggal, OKU dan bekas banduan.
Dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 setahun sebagai permulaan tahun 2024, saya percaya peruntukan ini akan diselaras semula dari semasa ke semasa kepada Jawatankuasa Tetap memandangkan banyak perancangan program – program yang berimpak tinggi akan dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan selanjutnya.
Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia secara dasarnya akan meluncurkan program – program khusus kepada pencari kerja di Negeri Selangor dan antara program yang telah dirancang adalah seperti berikut :
- Program Karnival Kerjaya Tahunan ;
- Program Bantuan Insentif Sijil Profesional;
- Program Latihan Kemahiran ; dan
- Program usahasama melibatkan beberapa agensi / jabatan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pasaraya – pasaraya berkenaan dan sebagainya.
Program yang dirancang ini sebahagian besarnya adalah untuk membantu para pencari kerja sekaligus membuka peluang – peluang pekerjaan kepada mereka dalam pelbagai bidang terutamanya melibatkan industri pembuatan, pembinaan, borong & runcit, perkilangan, pemprosesan makanan, teknologi maklumat dan sebagainya.
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mempromosikan Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sebagai satu Jawatankuasa Tetap yang baharu dimana peranan, visi, misi dan objektifnya jelas untuk membantu pekerja di negeri Selangor bagi mendapatkan peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan statistik kadar pengangguran di Negeri Selangor.