Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
31) PEWARTAAN TANAH RUMAH IBADAT DAN PERKUBURAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini berkenaan permohonan warta tanah perkuburan Sungai Buloh yang dilakukan oleh Persatuan Sahabat Warisan KL dan Selangor?
Untuk makluman, permohonan pewartaan ini telah diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG) pada 21 September 2020 dan telah diambil tindakan sewajarnya. Kelulusan dasar oleh YAB Dato‘ Menteri Besar telah diperolehi pada 21 September 2021.
Walau bagaimanapun, kelulusan yang diperoleh adalah berbeza dengan Pelan Akui (PA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Selangor. Pada 7 Februari 2024, permohonan pindaan keluasan ini telah dikemukakan kepada semula kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) daripada PDTG untuk tindakan pindaan kepada proses pewartaan tersebut.
-
Apakah status terkini berkenaan penyelesaian isu sekatan ROS bagi pertubuhan penghuni agama bukan Islam untuk menguruskan rumah ibadat?
Pendaftaran Pertubuhan Negeri Selangor (JPPM) memaklumkan bahawa Jabatan tersebut dalam proses menyelaras semula polisi-polisi termasuk isu pendaftaran dan pengurusan pertubuhan yang turut melibatkan kategori pertubuhan keagamaan yang merangkumi sub-kategori Persatuan Penganut dan Jawatankuasa Pengurusan. Semakan semula ini dilaksanakan agar dasar dan polisi Jabatan lebih teratur dalam mengurus dan mengawal selia pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta 832.
Susulan daripada arahan pembekuan pendaftaran pertubuhan baharu bagi kategori ‘keagamaan’ dan sub-kategori ‘pengurusan’ oleh JPPM, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JPPM kini sedang memuktamadkan satu dasar dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu bagi pendaftaran dan pengurusan pertubuhan kategori Keagamaan agar lebih teratur. Justeru itu, dasar dan SOP berkenaan akan dikuatkuasakan selepas mendapat kelulusan peringkat tertinggi Kementerian.