Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
25) KEMUDAHAN PUSAT AKTIVITI BELIA DI KAJANG
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan kemudahan pusat aktiviti belia di Kajang?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil berat terhadap infrastruktur dan kemudahan awam serta keperluan kepada komuniti di Selangor. Buat masa kini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mewujudkan beberapa pusat komuniti dan aktiviti yang boleh digunakan oleh para belia khususnya dan masyarakat setempat. Antara kemudahan yang telah disediakan adalah;
- TAMAN BELIA, Kampung Sungai Kantan, Kajang.
Taman Belia ini berkonsepkan aktiviti luar (outdoor) dan di lengkapi dengan kemudahan papan selaju (skate board) yang juga antara fasiliti papan selaju yang terawal di Malaysia. Taman Belia ini juga di lengkapi dengan sebuah gelangang futsal, takraw dan badminton.
- MEDAN BELIA KAJANG Di Jalan Stadium, Kajang.
Medan Belia Kajang ini adalah medan selera yang baru sahaja dinaiktaraf pada tahun 2023 yang lalu. Medan Belia Kajang ini adalah hub bagi belia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seperti ruang jualan, kesenian, kebudayaan dan ruang bagi usahawan muda pada hujung minggu. Terdapat lebih 11 gerai makanan dan minuman yang sudah tentunya golongan belia adalah pemiliknya dan penyewanya. Waktu operasi Medan Belia Kajang ini adalah dari pukul 2.00 petang sehingga 11.30 malam.
- DATARAN KAJANG di Stadium Kajang
Dataran Kajang ini terletak di tengah Bandar Kajang dan dibuka setiap hari untuk semua orang awam menjalankan aktiviti kesihatan dan juga riadah yang pastinya dapat dimanfaatkan oleh golongan belia. Dataran Kajang ini juga dibuka kepada mana-mana Syarikat, Persatuan dan Kelab untuk sewaan bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti keusahawanan, pesta makanan, sukaneka, program kemasyarakatan dan lain-lain. Waktu operasi Dataran Kajang adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 12 malam.
- KAJANG DULU – DULU di Lorong Sulaiman, Bandar Kajang
Lorong Sulaiman ini terletak di tengah Bandar Kajang yang berhampiran dengan perhentian bas Bandar Kajang dan ini adalah lokasi tarikan terbaru yang disediakan oleh pihak Majlis. Kajang Dulu-Dulu @ Lorong Sulaiman ini dihiasi dan dipenuhi oleh lukisan Mural tokoh-tokoh sejarah yang berasal dari Kajang. Terdapat juga ruang Temu Seni untuk penggiat-penggiat kebudayaan dan kesenian untuk memperkenalkan hasil seni mereka. Fasiliti ini dibuka kepada orang awam tanpa mengira waktu memandangkan ianya adalah di kawasan awam terbuka. Bagi yang berminat untuk mengadakan aktiviti atau program untuk golongan belia, boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kajang.
Secara umumnya, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa terbuka bagi mengenalpasti potensi dan ruang yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat umumnya. Cadangan bagi menyedia dan menaiktaraf kemudahan awam adalah tanggungjawab bersama semua agensi sama ada di peringkat negeri dan persekutuan.