Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

12) KEMUDAHAN REKREASI GOLONGAN OKU

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menambahbaik penyediaan kemudahan rekreasi untuk golongan kurang upaya di negeri ini?

    Kerajaan Negeri menerusi pihak PBT membangunkan kemudahan sukan dan rekreasi yang inklusif untuk semua golongan termasuk golongan OKU.  Dalam hal ini, pihak PBT telah mensyaratkan penyediaan kemudahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam permohonan Kebenaran Merancang bagi setiap pembangunan baharu. Sebarang pembangunan adalah tertakluk kepada pematuhan garis panduan Reka Bentuk Bandar Sejagat (Universal Design Guidelines) dan Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor. Syarat-syarat ini  dikenakan ke atas pembangunan komersial, perindustrian, institusi dan perumahan.

    Terdapat juga PBT yang mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan bagi menyediakan taman permainan/ taman rekreasi yang mesra golongan OKU sebagaimana yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di USJ11 yang memberi ruang kepada golongan OKU termasuk yang berkerusi roda untuk bermain alatan permainan di taman tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.