Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
399) KENDERAAN ELEKTRIK (EV)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan kerjasama Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan industri pengangkutan hijau (EV).
Kerajaan Negeri mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha untuk mencapai sasaran pelaksanaan dasar dan polisi termasuk dasar berkaitan kenderaan elektrik (EV). Di antara bentuk kerjasama yang diusahakan adalah memperkasakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di kalangan masyarakat bagi mencapai sasaran 10,000 unit menjelang tahun 2030. Oleh itu, pada 13 Disember 2023, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemakaian Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPPEVCB) yang dibangunkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) untuk diguna pakai di Negeri Selangor.
Bagi menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah awal dengan menetapkan sasaran bagi penyediaan kemudahan stesen pengecas EV sebanyak 1,000 unit menjelang tahun 2025 sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan bakal menjangkau 4,000 unit menjelang tahun 2030.
-
Berapakah peruntukan yang ditetapkan?
Bagi projek pemajuan stesen pengecas EV. Ianya dilaksanakan menerusi konsep Public-Private Partnership (PPP) yang mana pendekatan ini bertujuan seperti berikut:
- tiada implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri dalam penyediaan kos modal yang tinggi bagi pelaksanaan projek pembangunan kerana akan ditanggung oleh pihak swasta;
- penyampaian perkhidmatan yang menekankan aspek penyelenggaraan aset awam secara berterusan dan pengagihan risiko yang optimum; dan
- pemilihan syarikat yang berkemampuan dari segi kewangan dan berkepakaran.
-
Apakah insentif Kerajaan Negeri bagi menggalakkan sektor perindustrian, perkilangan dan logistik menggunakan EV?
Kerajaan Negeri belum menyediakan sebarang insentif berkaitan penggunaan EV dalam kalangan sektor swasta seperti perkilangan, perindustrian dan logistik. Namun, di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, satu inisiatif bagi menyokong dan mempromosikan gaya hidup penduduk yang mesra alam hijau supaya Petaling Jaya menjadi sebuah Bandaraya Hijau Berkarbon Rendah diperkenalkan melalui pemberian rebat cukai taksiran. Rebat ini ditawarkan kepada pemilik rumah yang telah mengambil inisiatif menjadikan bangunan kediaman mereka mesra alam hijau dari segi aspek tenaga, air, kepelbagaian biologi, pengurusan sisa buangan dan pengangkutan.
Manakala di peringkat Kerajaan Persekutuan, pelbagai insentif telah diperkenalkan dalam menggalakkan peralihan kepada EV, seperti pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan. Inisiatif ini mendorong penglibatan pemain-pemain industri untuk merebut peluang meneroka industri EV.