Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

394) GERAN PENYELIDIKAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan untuk tahun 2024 bagi geran ini?

    Geran Penyelidikan Negeri Selangor (GPNS) adalah insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu para penyelidik menghasilkan kajian yang berkualiti dan bermutu tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutama yang relevan dalam merealisasikan objektif Rancangan Selangor (RS) dan memberikan nilai tambah kepada inisiatif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) disamping menjadikan Negeri Selangor sebagai Negeri Penyelidikan Sains, Teknologi dan Inovasi. Pada tahun 2023, seramai 30 orang penyelidik daripada 2,000 orang pemohon telah berjaya mendapatkan geran dengan peruntukan berjumlah RM3,000,000.00. Inisiatif ini diteruskan pada tahun 2024 dengan jumlah peruntukan RM1,500,000.00 dan mensasarkan 20 orang penerima. Tawaran dijangka akan dibuka pada September 2024 dan status terkini pelaksanaan masih dalam fasa perbincangan dengan agensi pelaksana. Setiap penyelidikan atau kajian yang dihasilkan perlulah suatu hasil yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat, industri dan Kerajaan Negeri Selangor dan menghasilkan suatu inovasi yang memberi manfaat kepada Kemajuan Negeri.

  2. Selain dari pihak Universiti, adakah geran ini dibuka kepada pihak lain?

    Bagi pelaksanaan program GPNS Tahun 2023, geran ini hanya dibuka kepada penyelidik dan pegawai akademik di Institusi Pengajian Tinggi seluruh Malaysia dengan seorang Ketua Penyelidik sebagai ketua bagi setiap geran yang berjaya. Ini bagi menggalakkan golongan akademik dan siswazah untuk menghasilkan lebih banyak journal dan kajian ilmiah yang memberi manfaat dan meningkatkan hasil penyelidikan di universiti masing-masing.

    Sehingga kini, belum ada perancangan untuk menawrkan geran ini kepada pihak selain golongan akademik universiti dan cadangan ini akan dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik syarat permohonan serta mengambil kira dana yang disalurkan untuk tujuan ini.

  3. Apakah aspek tumpuan penting untuk geran ini?

    Inisiatif GPNS ini berteraskan kepada empat (4) teras utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) ke arah kemajuan Negeri Selangor iaitu pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus. Antara bidang tumpuan adalah Sains Hayat, Sains Sosial, Aeroangkasa, Automotif, Elektrikal dan Elektronik, Pendidikan, Penjagaan Kesihatan, Pengurusan Air, Bencana dan Sumber Alam, Teknologi dan beberapa bidang lain yang mencakupi empat (4) teras utama tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.