Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

371) KEPERLUAN SEKOLAH RENDAH, SEKOLAH AGAMA DAN SEKOLAH MENENGAH YANG MENDESAK

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pembangunan yang pesat di DUN Dengkil membuatkan kemudahan sekolah semakin padat sehingga 50 anak murid dalam satu kelas. Apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah kekurang sekolah ini?

    JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum keprihatinan Yang Berhormat berkaitan isu kepadatan murid dalam satu kelas. Memang diakui terdapat sekolah yang kelasnya mencapai atau melebihi 50 orang murid. Bagi mengekang dan mengawal keadaan ini, JPN Selangor mengambil beberapa tindakan iaitu kaedah jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

    Bagi kaedah jangka pendek atau tindakan segera yang dilakukan adalah dengan menukar bilik-bilik khas atau ruang sedia ada kepada kelas atau bilik darjah. Selain itu, JPN Selangor juga melakukan tindakan mengawal dan mengagihkan penempatan murid mengikut keperluan semasa.

    Bagi penyelesaian jangka sederhana bagi masalah kepadatan di SK Cyberjaya, JPN Selangor telah bertindak memohon peruntukan pembinaan 12 Bilik Darjah Kabin dan peruntukan itu telah diterima pada awal tahun ini. Pembinaan 12 bilik darjah kabin ini dijangka akan siap sebelum Oktober 2024.

    KPM juga sedang melaksanakan tiga (3) projek di DUN Dengkil bagi penyelesaian jangka panjang iaitu:

    • Pembinaan sekolah baharu 42 Bilik Darjah SMK Kota Warisan yang mula dibina pada tahun 2023 dan dijadualkan siap pada tahun 2025;
    • Pembinaan bangunan tambahan 16 Bilik Darjah di SMK Bukit Changgang yang mula dibina pada tahun Januari 2024 dan dijadualkan siapa pada tahun 2025;
    • Pembinaan baharu 36 Bilik Darjah SK Cyberjaya (2) yang dijangka mula masuk tapak pada tahun 2025 dan dijadualkan siap pada tahun 2028.

    JPN Selangor sentiasa melihat keperluan dan mengambil berat kemudahan pendidikan bukan sahaja di DUN Dengkil tetapi di seluruh daerah di Negeri Selangor. Oleh itu lebih daripada 100 permohonan akan diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dari tahun 2026 hingga 2030 sama ada pembinaan sekolah baharu mahupun pembinaan bangunan tambahan bagi memenuhi keperluan pendidikan di negeri ini.

    JAIS

    Buat masa ini, sebagai langkah segera, JAIS akan menambah bilangan kelas dan guru bagi situasi kelas-kelas yang melebihi 45 orang. Bagi kelas yang melebihi 45 orang satu kelas, pihak sekolah akan diminta untuk memaklum kepada Jabatan Agama Islam Selangor melalui Bahagian Pendidikan Islam untuk penambahan kelas dan guru.

Lampiran

Tiada Lampiran.