Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

352) EKONOMI GIG BELIA

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah trend pengangguran belia di Selangor bagi tahun 2024?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan Yang Mulia ini, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar pengangguran nasional pada sukuan pertama tahun 2024 adalah 3.3 peratus atau seramai 561,100 orang. Manakala kadar pengangguran di negeri Selangor mencatatkan 2.0 peratus atau seramai 79,300 orang. Berdasarkan statistik PERKESO, dari tempoh 1 Januari hingga 20 Jun 2024, jumlah yang kehilangan pekerjaan di seluruh negara adalah seramai 24,963 orang dan daripada jumlah tersebut, seramai 6,890 orang adalah dari negeri Selangor. Daripada jumlah kehilangan pekerjaan di negeri Selangor ini, seramai 1,735 orang adalah terdiri daripada golongan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun.

  2. Nyatakan statistik belia Selangor yang terlibat dengan sektor ekonomi gig.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan Yang Mulia ini, berdasarkan statistik PERKESO, sehingga 21 Jun 2024 seramai 132,658 pekerja gig dalam kalangan belia berumur 15 hingga 40 tahun aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Daripada jumlah tersebut, seramai 11,177 orang adalah daripada negeri Selangor. Berikut adalah statistik pekerja gig mengikut sektor ekonomi di negeri Selangor yang aktif mencarum di bawah SKSPS sehingga 14 Jun 2024.

  3. Apakah pelan tindakan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti hidup belia yang terlibat dengan sektor ekonomi gig?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan Yang Mulia ini, Kerajaan Negeri menerusi PERKESO sentiasa berusaha dalam meningkatkan kualiti hidup belia yang terlibat dengan sektor ekonomi gig. Antaranya menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri termasuk pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789]. Pencarum di bawah Akt aini adalah layak menerima Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional dan Faedah Pendidikan.

    1. Selain itu, PERKESO turut melaksanakan beberapa inisiatif lain seperti;

      i. Menyediakan Program Bina Kerjaya 2.0 di bawah peruntukan Bajet 2024. Program ini merupakan program pembangunan kerjaya yang dikhususkan kepada pekerja sektor tidak formal termasuk pekerja gig yang mempunyai tahap pendidikan Sijil Diploma dan ke bawah bagi meningkatkan potensi serta memperoleh peluang pekerjaan melalui pengajian dan pensijilan micro-credentials atau profesional atau kompetensi. Program yang dijalankan menerusi Bina Kerjaya 2.0 ini juga memberi tanggungan bayaran latihan sehingga maksimum RM4,000 mengikut kategori persijilan dan elaun Latihan kepada peserta berjumlah RM30 sehari untuk tempoh maksima 20 hari. Berdasarkan statistik PERKESO, dari tempoh Januari sehingga 14 Jun 2024, sebanyak 13,803 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,082 permohonan telah diluluskan.

      ii. Program SPS Padanan Caruman di bawah inisiatif Geran Padanan Caruman di bawah Bajet 2024 yang merupakan insentif bayaran caruman 90 peratus iaitu RM209.50 dibiayai oleh Kerajaan, manakala orang bekerja sendiri (OBS) hanya perlu membayar sebanyak 10 peratus iaitu sebanyak RM23.30 sahaja daripada kadar caruman RM232.80 di bawah Pelan Caruman Kedua. Sehingga 21 Jun 2024 seramai 385,586 OBS telah mencarum menerusi Bajet 2024. Daripada jumlah tersebut, seramai 185,026 OBS mencarum di bawah program SPS Gig 4.0.

      iii. Menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) iaitu;

      a. Pada 13 Mac 2024, Kementerian Pengangkutan telah memberi tajaan caruman penuh melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada individu yang bekerja sendiri sebagai pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang melibatkan 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 mereka yang bekerja sendiri sebagai pemandu bas sekolah.

      b. Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memandatorikan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 sebagai salah satu syarat memperbaharui lesen vokasional bagi individu tertakluk kepada definisi orang bekerja sendiri di bawah Akta 789.

      iv. Mengadakan sesi libat urus berterusan bersama Kementerian/ Jabatan/ Agensi/ Badan Bukan Kerajaan/ Kerajaan Negeri/ Penyedia Platform seperti yang berkaitan seperti GRAB, Lalamove, Lazada, Pejabat Penerangan Negeri, Jabatan Pembangunan Wanita dan Sahabat-Sahabat Amanah Ikhtiar. Pada 4 Jun 2024, Grab Malaysia telah menaja caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada lebih 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing).

Lampiran

Tiada Lampiran.