Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
347) PENTERNAK
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pelan tindakan kerajaan untuk memberikan penggalakkan kepada penternak kecil bagi haiwan tenusu dapat menjalankan penternakan mereka dengan lebih baik dan berkesan?
Pelan tindakan Kerajaan Negeri untuk memberikan penggalakkan kepada penternak kecil bagi haiwan tenusu agar dapat menjalankan penternakan mereka dengan lebih baik dan berkesan telah digariskan dalam Plan Transformasi Pertanian Negeri Selangor (PETA).
Penternak digalakkan dan dibantu untuk menumpukan usaha kepada menternak ternakan yang bernilai tinggi seperti lembu tenusu baka kacukan misalnya Friesian dan Jersey. Selain itu, para penternak digalakkan dan dibantu untuk memulakan/meningkatkan penanaman rumput bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan dedak semata-mata yang harganya semakin tinggi. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan pada setiap tahun dalam bentuk ternakan pembiak, peralatan menternak, bahan binaan untuk membesarkan kandang dan homplot bagi menanam rumput berkualiti melalui beberapa program pembangunannya. Bagi pengetahuan semua pihak, permohonan bantuan bagi agihan tahun 2025 sedang dibuka dari 1 hingga 31 Julai 2024.
-
Adakah tanah disediakan untuk kegiatan penternakan dan status serta berapa penternak telah dipindahkan ke Olak Lempit, Kuala Langat?
Tanah untuk kegiatan penternakan memang disediakan melalui pemajakan plot-plot penternakan di semua Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor). Bagi pengetahuan semua pihak, para agropreneur penternakan terutamanya yang menghadapi masalah kawasan menternak tidak semestinya memohon pajakan di Penempatan Semula (Translokasi) Penternakan Olak Lempit semata-mata. Mereka juga boleh memohon untuk memajak di TKPM-TKPM yang lain. Semua permohonan tertakluk kepada:
- Kekosongan di sesuatu TKPM;
- Tujuan sesuatu TKPM itu (seperti lembu kerbau sahaja, ayam sahaja, tanaman pastura sahaja atau ternakan bercampur);
- Syarat-syarat yang ditetapkan oleh DVS Selangor dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi mematuhi keperluan Kanun Tanah Negara dan undang-undang lain.
Senarai semua TKPM bagi tujuan penternakan / tanaman pastura adalah seperti berikut :
Status terkini pembangunan Penempatan Semula (Translokasi) Penternakan Olak Lempit, Kuala Langat adalah semua kerja-kerja utama telah di siapkan iaitu kerja-kerja tanah, kerja membahagikan tapak projek kepada plot-plot individu, kerja membina parit, pemasangan paip air dan kerja-kerja sampingan yang lain.
Sehingga kini, seramai tiga (3) penternak diluluskan untuk memajak empat (4) plot penternakan di projek ini. Belum ada penternak yang berpindah sehingga kini. Bakal pemajak dibenarkan berpindah ke plot masing-masing bermula bulan Ogos 2024 kerana tapak projek ini baru sahaja diserahkan oleh JKR kepada pihak UPEN.
Sebagai tambahan, lima (5) permohonan pajakan daripada keseluruhan lapan (8) permohonan lain telah disyorkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan seterusnya telah dipanjangkan kepada pihak UPEN bagi tujuan kelulusan. Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan melaksanakan urusan pemajakan setelah pihak UPEN mengeluarkan surat tawaran pajakan kepada penternak-penternak yang terpilih.