Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
324) KEGUNAAN TAPAK ATAU TANAH SIMPANAN SEKOLAH YANG MASIH KOSONG
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah tapak simpanan sekolah yang lama tidak dibangunkan boleh ditukar gunakan untuk kegunaan lain seperti membina pangsapuri MADANI?
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan tapak atau tanah simpanan sekolah yang masih kosong.
JPN Selangor sentiasa komited dalam memastikan penyediaan keperluan kemudahan dan infrastruktur pendidikan adalah seiring dengan peningkatan dan kepesatan pembangunan fizikal yang menyumbang kepada kepadatan penduduk yang berlaku di sesebuah kawasan.
Justeru, sebagai syarat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) bagi pembangunan yang dilaksanakan di sesebuah kawasan, pemaju perlu menyediakan tapak-tapak serahan bagi tujuan kemudahan awam (pendidikan) bagi maksud Persekutuan. Syarat kelulusan KM berkenaan turut mengambil kira janaan penduduk serta peningkatan kepadatan, bukan sahaja untuk keperluan semasa, tetapi juga berdasarkan unjuran keperluan pada masa hadapan. Selain itu, KM tersebut turut diwartakan sebagai zoning di dalam sesebuah Rancangan Tempatan (RT) di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perkara ini adalah selaras dengan matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi menyediakan akses pendidikan kepada masyarakat serta keperluan pembangunan nasional bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) melalui pendekatan yang komprehensif.
Namun begitu, terdapat sebahagian besar tapak serahan tersebut yang masih lagi berstatus tanah Kerajaan Negeri, di mana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) masih belum melaksanakan tindakan perolehan secara pemberimilikan atau perizaban kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Justeru, sekiranya terdapat perancangan dan keperluan untuk perolehan tapak-tapak tersebut, permohonan akan dikemukakan dari semasa ke semasa berdasarkan prosedur perolehan tanah yang sedang berkuat kuasa.
Berdasarkan penjelasan tersebut, secara keseluruhannya tapak-tapak serahan bagi tujuan kemudahan awam (pendidikan) bagi maksud Persekutuan sememangnya merupakan satu keperluan jangka panjang yang amat signifikan dan perlu dikekalkan berdasarkan perancangan dan hala tuju yang jelas di peringkat KPM dan JPN serta komitmen dan kerjasama semua pihak di peringkat Jabatan/ Agensi Persekutuan mahupun negeri.
Dalam hal ini, sekiranya terdapat permohonan bagi tujuan tukar guna serta pelepasan tapak untuk kegunaan lain, ulasan Jabatan/ Agensi yang berkepentingan termasuk KPM dan JPN perlu diambil kira bagi tujuan penilaian dan penelitian dalam memastikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sepertimana yang dihasratkan dalam sesebuah pembangunan kawasan tidak terjejas atau memberi kesan risiko jangka panjang kepada generasi masa hadapan.