Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
310) PEMBANGUNAN TANPA KOLAM TAKUNGAN ANTARA PUNCA BANJIR KILAT
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Memandangkan banyak pembangunan dahulu adalah tidak dilengkapi dengan sistem kolam takungan, apakah tindakan kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini?
Untuk makluman Yang Berhormat, selaras dengan pemakaian garis panduan Manual Saliran Mesra Alam Edisi Kedua, sesebuah pembangunan harus menyediakan kolam takungan atau On-Site Detention (OSD). Penyediaan komponen tersebut adalah penting dalam memastikan pembangunan tidak memberi kesan negatif terhadap aliran air permukaan sekaligus dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar. Pembinaan kolam takungan akan disyaratkan kepada pembangunan yang berkeluasan 10 hektar ke atas manakala bagi pembangunan berkeluasan 10 hektar ke bawah, OSD seperti tangki tadahan bawah tanah harus disediakan termasuk pembangunan yang terlibat dengan Program Pemutihan Kilang.
Menerusi Program Pemutihan Kilang yang melibatkan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK), penyediaan OSD adalah kekal disyaratkan meskipun pembangunan telah siap sepenuhnya. Pertimbangan terhadap pembangunan seumpama ini boleh diberi kepada pemaju dengan menyediakan perimeter drain sebagai sistem takungan aliran air iaitu OSD di dalam tapak pemajuan. Sehubungan itu juga, keperluan discharge control pit perlu disediakan di dalam OSD bagi tujuan kawalan kuantiti aliran air yang dihasilkan. Reka bentuk bagi sistem takungan tersebut perlu merujuk kepada garis panduan Manual Saliran Mesra Alam Edisi Kedua 2012 (MSMA 2nd Edition).
Untuk makluman Yang Berhormat juga, pembinaan kolam tadahan merupakan salah satu kaedah untuk mengurangkan risiko banjir dalam sistem saliran. Ianya juga adalah salah satu skop yang terdapat di dalam Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA). Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah merangka tindakan yang menggunapakai konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) bagi pengurusan air larian hujan di dalam kawasan pembangunan menerusi kajian PISMA.
Berikut adalah senarai Kajian PISMA yang dilaksanakan di Negeri Selangor menggunakan Peruntukan Persekutuan dan Peruntukan Negeri:-
Maklumat Tambahan Mengenai Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA)
Pengenalan PISMA:-
- PISMA adalah pelan induk yang mematuhi konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).
- Mengenalpasti isu-isu dan kelemahan pada sistem saliran sedia ada termasuk isu-isu dan permasalahan kualiti air.
- Mencadangkan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan berdasarkan cadangan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam mengatasi masalah banjir kilat dan pencemaran kualiti air di kawasan perbandaran.
- Membangunkan Inventori Aset Sistem Saliran.
- Merupakan panduan dan rujukan untuk merancang pembangunan masa hadapan yang lebih sistematik dan mapan.
Objektif PISMA:-
- Untuk merangka pelan induk jangka masa panjang dalam pengurusan air larian hujan untuk mengurangkan risiko banjir.
- Untuk merangka pelan induk jangka masa panjang dalam pengurusan kualiti air larian hujan menggunakan Teknologi Tersedia Terbaik (BAT) atau Amalan Pengurusan Terbaik (BMPs) untuk mengurangkan kesan pencemaran pada air / badan air.
- Untuk membangunkan Inventori Aset Sistem Saliran.
Hasil PISMA:-
- Pelan Induk Saliran menerangkan secara komprehensif penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan risiko kejadian banjir kilat.
- Pelan Induk Kualiti Air menerangkan Amalan Pengurusan Terbaik (BMPs) yang boleh dilaksanakan bagi mengawal pencemaran akibat pembangunan.
- Pembangunan sistem inventori adalah inventori infrastruktur-infrastruktur berkaitan saliran yang ada di kawasan kajian digunakan sebagai rujukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak berkaitan untuk pemantauan dan penyelenggaraan.
- Drainage Capacity Assessment menunjukkan kapasiti sistem saliran dan menyesyorkan sistem saliran yang perlu dinaiktaraf segera.
- Cadangan Aras Pembangunan
- Soil Erosion Risk Map