Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

298) TVET SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka masa panjang terhadap pendidikan TVET bagi rakyat Selangor?

    Kerajaan negeri sangat komited dalam merancang dan merealisasikan harapan Malaysia dalam melahirkan tenaga mahir melalui program TVET seperti sasaran Dasar TVET Negara 2030 dengan aspirasi Negara melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030 yang akan membawa Malaysia ke arah negara maju dengan menekankan modal insan berkemahiran yang responsif, fleksibel dan inklusif. Kerajaan Negeri juga akan menumpukan kepada lima (5) teras utama Dasar TVET Negara 2030 iaitu tadbir urus komprehensif dan bersinergi, kualiti dan laluan pendidikan bertaraf dunia, kerjasama industri cekap dan produktif, pembiayaan TVET yang mampan dan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan inisiatif sedia ada seperti bantuan yuran pengajian melalui program IKTISASS, kerjasama bersama institusi pengajian tinggi dan industri tempatan dan antarabangsa serta menambah baik program TVET sedia ada selari dengan arus perdana dan keperluan industri utama di Selangor khususnya. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memastikan kerjasama bersama Kerajaan Pusat juga sentiasa diteruskan bagi memastikan agenda TVET dilaksanakan dengan berkesan.

  2. Apakah kerjasama yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri bersama pusat bagi program TVET?

    Antara kerjasama sedia ada dan baharu bersama Kerajaan Pusat adalah:

    1. Kerjasama bersama Kolej Vokasional (KV) untuk memastikan lepasan SPM yang tidak mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian TVET di KV diberi tawaran penempatan di STDC.
    2. Penganjuran Program Selangor Advance Skills (SAS) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi melahirkan bakat-bakat berkemahiran.
    3. Kerjasama bersama JPK bagi menambah baik program sedia ada dan program baharu yang relevan dengan kehendak pasaran dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.
  3. Adakah Unisel akan turut bersama-sama bagi membangunkan pengajian dalam bidang TVET?

    Universiti Selangor (UNISEL) merupakan universiti pertama yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1999 dan mendapat pengiktirafan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Kajian terperinci berhubung peranan UNISEL dalam pembangunan pendidikan berasaskan TVET akan dilaksanakan oleh pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) mengambil kira peranan STDC dan Universiti  Islam Selangor agar aspirasi pendidikan dan kepentingan universiti/ institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri kekal relevan dan dapat dimanfaatkan oleh anak Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.