Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

279) AGENDA KESAN PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sasaran Net-Zero Kerajaan Negeri?

    Kerajaan Negeri Selangor telah menggariskan Negeri Rendah Karbon sebagai agenda utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2025. Dalam RS-1, beberapa inisiatif telah digariskan ke arah mencapai sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050. Kerajaan Negeri juga kini menjadikan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy – RE) salah satu fokus utama dalam memastikan pembangunan yang mampan dan sifar karbon menjelang tahun 2050.

    Pada ketika ini, sasaran Net Zero Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    • Kerajaan Negeri akan memaksimumkan potensi sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan industri hijau melalui pelaburan dalam pelbagai sektor di Negeri Selangor dan penetapan garis dasar (baseline) penggunaan tenaga termasuk dalam menaiktaraf infrastruktur tenaga dan integrasi teknologi grid pintar;
    • Menekankan aspek ekonomi hijau khususnya dalam menjamin pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan ekonomi kitaran;
    • Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor yang merangkumi pelan tindakan perubahan iklim bagi pengurusan sumber yang optimum, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui sektor-sektor utama yang telah dikenalpasti sebagai usaha untuk menurunkan kadar pelepasan karbon;
    • Meluaskan penggunaan kuasa solar dan solar termal sebagai sumber tenaga di premis awam;
    • Menggalakkan penggunaan peralatan berteknologi hijau;
    • Dalam menyokong usaha NETR, Kerajaan Negeri Selangor melalui Air Selangor telah mengumumkan Visi Tenaga Net Zero 2041 yang bertujuan untuk menjana 1,460 jam gigawatt tenaga elektrik hijau setiap tahun menjelang 2040 dan mengelakkan pelepasan karbon sebanyak 138,800 tan serta mengurangkan Indeks Tenaga Korporat untuk Air Selangor sebanyak 15% dalam tempoh 15 tahun;
    • Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) menjalinkan kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) secara tripartite dalam meneroka sektor tenaga termasuk tenaga baharu seperti solar dan kecekapan tenaga ke arah mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar, kemampanan sosio-ekonomi negeri serta mengaplikasikan ekonomi hijau;
    • Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bekerjasama dengan SSDU untuk membangunkan sistem pengurusan inventori dan pelaporan GHG. Pada ketika ini, kajian penilaian kesesuaian sistem sedang dilaksanakan termasuk aspek teknikal dan kaedah pelaporan untuk digunapakai di peringkat negeri serta ke semua 12 PBT bagi tujuan penyeragaman data dan pelaporan.
  2. Apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menangani perubahan iklim?

    Bagi menangani isu perubahan iklim, beberapa tindakan telah diambil oleh Kerajaan Negeri, antaranya seperti berikut:

    • Pembinaan infrastruktur dan naiktaraf kerja-kerja pendalaman sungai, tampungan sungai dan kolam menerusi penglibatan Jabatan dan Agensi Negeri, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan;
    • Pengurusan air yang efisyen dan kaedah pembersihan serta pemuliharaan sumber air negeri Selangor;
    • Pembangunan mekanisme pelaporan karbon yang mematuhi piawaian di peringkat antarabangsa;
    • Memperluaskan pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) dalam semua sektor industri;
    • Sistem pengurusan sisa bersepadu berteknologi tinggi seperti kemudahan Sisa kepada Tenaga atau Waste-toEnergy (WTE);
    • Pengurusan hutan dan memastikan pengekalan kawasan litupan hijau tidak kurang dari 30%; dan
    • Menjalankan kempen-kempen kesedaran dan sesi perkongsian maklumat berkaitan penjagaan alam sekitar melalui penglibatan PBT, Jabatan dan Agensi serta organisasi bukan kerajaan.
  3. Adakah baseline emissions study telah dilaksanakan untuk Negeri Selangor?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kajian garis asas pelepasan karbon (baseline study) masih belum diwujudkan di peringkat Negeri Selangor.  Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah PBT mempunyai data bagi penetapan sasaran pengurangan karbon di kawasan perbandaran masing-masing sebagai rujukan untuk pelaksanaan program/inisiatif. Bagi memastikan pengukuran karbon tempatan lebih konsisten dan boleh diukur, Kerajaan Negeri Selangor akan membangunkan sistem pengurusan inventori gas rumah hijau (GHG) seterusnya membangunkan Pelan Net Zero Carbon Negeri Selangor yang merangkumi aspek tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan inisiatif peralihan tenaga.

Lampiran

Tiada Lampiran.