Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
260) INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah IKS yang menyumbang kepada ekonomi di Selangor dari tahun 2023 sehingga kini?
Pihak Kerajaan Negeri tiada maklumat berkenaan jumlah sumbangan IKS kepada Ekonomi Selangor dari tahun 2023 hingga kini.
Namun begitu, merujuk kepada Laporan Prestasi dan Prospek Ekonomi 2022 / 2023, KDNK PMKS mengalami pertumbuhan dua angka yang mengagumkan sebanyak 11.6% pada tahun 2022 (2021: 1.3%), menunjukkan pengembangan terpantas sejak tahun 2014. Pertumbuhan ini adalah konsisten dengan pemulihan kukuh Malaysia meskipun dalam kelembapan ekonomi global. Prestasi pertumbuhan PMKS bukan sahaja mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 8.7% (2021: 3.3%) tetapi juga mengatasi pertumbuhan KDNK Bukan PMKS sebanyak 6.9% (2021: 4.5%). Dari segi nilai, KDNK PMKS pada harga malar tahun 2015 mencapai RM580.4 bilion pada tahun 2022, lebih tinggi daripada RM520.0 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Hasil daripada kadar pertumbuhan yang lebih pantas pada tahun 2022, sumbangan PMKS kepada KDNK keseluruhan meningkat dengan ketara kepada 38.4% berbanding 37.4% yang dicapai pada tahun 2021.
Kebanyakan sektor ekonomi PMKS mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya, kecuali sektor pertanian. PMKS dalam tiga sektor iaitu perkhidmatan, perlombongan & pengkuarian dan pembinaan berjaya bangkit daripada pertumbuhan negatif yang dicatatkan pada tahun 2021 apabila mereka pulih dengan kukuh masing-masing pada kadar 16.4% (2021: -0.6%), 8.0% (2021: -3.6%) dan 4.9% (2021: -4.4%). Sementara itu, PMKS dalam sektor pembuatan terus berkembang pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 6.0% (2021: 8.4%). Kadar pemulihan PMKS Malaysia merentas kebanyakan sektor beroleh momentum pada tahun 2022 susulan penamatan sepenuhnya langkah-langkah pembendungan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa bermula 1 April 2022.
Sebanyak 80% syarikat yang berstatus SME beroperasi di Selangor dan data ini secara langsung menunjukkan bahawa syarikat SME ini memainkan sumbangan yang besar dalam pertumbuhan KDNK Negeri.
Sumber : Laporan Prestasi dan Prospek Ekonomi 2022 / 2023 SME Corporation Malaysia.
-
Apakah pecahan IKS dari segi kewangan dan industri mengikut setiap DUN?
Berdasarkan rekod penyertaan syarikat – syarikat IKS dalam program anjuran pihak Kerajaan Negeri melalui SIDEC, sebanyak 569 syarikat IKS dikenalpasti beroperasi di Selangor melibatkan beberapa industri seperti automotif, Produk kecantikan & kesihatan, makanan & minuman, elektrikal & elektronik, tekstil dan lain – lain.
-
Berapakah jumlah pekerjaan yang dihasil oleh IKS dari tahun 2023 sehingga kini?
Sumbangan guna tenaga perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) kepada guna tenaga Malaysia adalah 48.2 peratus pada tahun 2022 untuk merekodkan sejumlah 7.59 juta guna tenaga.
Berdasarkan Statistik Guna Tenaga yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan survei yang dijalankan ke atas pertubuhan syarikat perniagaan formal dalam sektor swasta mendapati peluang pekerjaan yang diukur berdasarkan bilangan kekosongan jawatan di Malaysia pada suku tahun pertama (ST1) 2024 direkodkan sebanyak 191.9 ribu kekosongan berkurang daripada 192.6 ribu kekosongan yang dicatatkan pada suku sama tahun 2023. Sementara itu, dalam tempoh yang sama, jumlah pewujudan jawatan baharu di Malaysia direkodkan sebanyak 32.1 ribu jawatan, meningkat daripada 31.7 ribu jawatan yang dicatatkan pada suku tahun 1 (ST1) 2023.
Statistik kekosongan dan pewujudan jawatan ini hanya tersedia di peringkat Malaysia.
Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Manakala bagi peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil daripada kelulusan projek – projek pelaburan oleh MIDA di Selangor bagi tempoh tahun 2023 sehingga kini adalah sebanyak 41,234 potensi peluang pekerjaan.
Daripada jumlah ini, sebanyak 16,774 potensi peluang pekerjaan diwujudkan hasil daripada kelulusan projek – projek pelaburan dalam sektor pembuatan / perkilangan. Manakala sebanyak 24,460 potensi peluang pekerjaan diwujudkan hasil daripada kelulusan projek – projek pelaburan dalam sektor perkhidmatan