Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
257) PENGURUSAN SISA TOKSIK YANG TIDAK SEMPURNA DI TANAH PERSENDIRIAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor dalam membenteras dalam isu pembuangan sisa toksik di tanah persendirian?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor melaksanakan tindakan-tindakan berikut bagi menangani isu pembuangan sisa toksik, antaranya :-
- Menjalankan penguatkuasaan ke atas kilang-kilang yang berisiko seperti menghasilkan buangan terjadual dalam kuantiti yang banyak atau terletak di kawasan sensitif alam sekitar atau di lembangan sungai yang tercemar.
- Penumpuan aktiviti penguatkuasaan terhadap lapan (8) Sektor Industri Berisiko Tinggi Mencemar Alam Sekitar meliputi industri-industri pembuatan produk logam, pembuatan kertas dan produk kertas, pembuatan logam asas, pembuatan produk getah dan plastik, pembuatan produk galian bukan logam, pembuatan produk makanan, pembuatan kimia dan produk kimia dan pembuatan produk petroleum.
- Menjalankan rondaan mingguan di kawasan industri yang dikenalpasti sebagai kawasan hotspot dan sering menerima aduan.
- Melaksanakan Operasi Gempur dan Operasi Lembangan pada setiap bulan serta operasi bersepadu bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
- Pelaksanaan kaedah Environmental Mainstreaming Tools (eMAINS) kepada pihak industri mengenai keperluan dan kepentingan pematuhan kendiri (self regulatory).
- Penggunaan dron bagi membolehkan pemantauan di kawasan industri dapat dijalankan secara meluas.
- Selain dari itu, pemantauan secara berterusan ke atas sistem pelaporan atas talian pengurusan buangan terjadual Electronic Scheduled Waste Information System (eSWISS) oleh pihak industri bagi memastikan pemakluman notifikasi, inventori, nota konsainan penghasilan buangan terjadual oleh industri sentiasa sentiasa direkodkan dan sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
-
Apakah tindakan kepada pemilik tanah yang membenarkan atau melakukan aktiviti pembuangan sisa toksik?
Bagi pemilik tanah yang membenarkan atau melakukan aktiviti pembuangan sisa toksik boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 dimana orang yang melakukan kesalahan tersebut apabila disabitkan, boleh didenda tidak tidak kurang daripada satu ratus ribu ringgit dan tidak melebihi sepuluh juta ringgit.
Seperti semua Ahli Yang Berhormat sedia maklum, membenarkan atau melakukan aktiviti pembuangan sisa toksik di tanah persendirian tanpa mendapat kebenaran yang sah adalah merupakan salah satu pelanggaran syarat nyata tanah yang dilakukan oleh pemilik tanah. Pelanggaran syarat tanah berlaku apabila pemilik tanah melakukan aktiviti selain yang dinyatakan dalam suratan hakmilik. Akibat daripada pelanggaran syarat ini, ianya boleh diambil tindakan melalui seksyen 127 hingga seksyen 130 KTN yang mana boleh mengakibatkan tanggungan untuk pelucuthakan terhadap pelanggaran syarat oleh pemilik tanah dan boleh menyebabkan tindakan pelucuthakan / rampasan dilakukan kepada pemilik tanah apabila pemberitahuan telah dibuat di dalam warta.
Oleh yang demikian, antara tindakan awalan yang boleh diambil oleh mana-mana PDT yang berkaitan terhadap pelanggaran syarat atau pemilik tanah yang melakukan aktiviti pembuangan sisa toksik ini adalah dengan melalui serahan notis-notis berkanun yang berkaitan seperti Borang 7A / 7E / 7F/ 8A atau melalui mana peruntukan perundangan yang sedang berkuatkuasa. Selain itu, tindakan kawalan dan pencegahan aktiviti pembuangan sisa toksik ini juga boleh diambil tindakan melalui lain-lain tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian melalui pelbagai peruntukan perundangan yang berkaitan.
Oleh yang demikian, ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang ruang yang diberikan kepada pemilik tanah yang dikenalpasti sengaja mengendalikan atau terlibat dengan aktiviti pembuangan sisa toksik tanpa mendapatkan kebenaran yang sah dari pihak PBN atau mana-mana agensi yang berkaitan.