Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

234) KUTIPAN DAN AGIHAN WANG ZAKAT

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah nilai keuntungan Zakat Selangor setakat Mei 2024?

    Lembaga Zakat Selangor (LZS) secara amnya merupakan sebuah institusi yang diamanahkan untuk memberi perkhidmatan menguruskan zakat di negeri Selangor. LZS bukanlah agensi yang berdasarkan keuntungan, sebaliknya dana zakat yang diperolehi akan diagihkan kepada lapan golongan asnaf iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharim, fisabilillah dan ibnusabil.

    Sehingga Mei 2024, LZS telah mengutip zakat sebanyak RM492,278,621 dan mengagihkan sebanyak RM479,169,402 kepada golongan asnaf di Selangor.

  2. Apakah cara pengagihan kepada pemohon sehinggakan ada yang melabelkan Zakat Selangor mengamalkan birokrasi yang tinggi?

    Pengagihan zakat di Selangor dilakukan melalui proses yang terstruktur dan sistematik untuk memastikan keadilan dan ketelusan dalam pemberian bantuan kepada pemohon yang layak. Oleh itu, setiap permohonan bagi bantuan zakat yang disediakan oleh LZS hendaklah menepati syarat umum kelayakan berdasarkan kepada Garis Panduan dan Syarat Kelayakan Agihan Zakat (GPSKAZ). Syarat umum kelayakan adalah seperti berikut:

    1. Beragama Islam.
    2. Warganegara Malaysia atau Pemastautin tetap.
    3. Lahir dan menetap di Selangor/bermastautin dan masih menetap di Negeri Selangor tidak kurang satu tahun tahun.
    4. Tidak menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak atau menerima bantuan tetapi masih tidak mencukupi.
    5. Pemohon mestilah seorang ketua keluarga bagi isi rumah.
    6. Memenuhi kriteria Had Kifayah yang ditetapkan oleh LZS iaitu pendapatan isi rumah kurang atau tidak sampai had mencukupi (Had Kifayah) bagi asnaf fakir miskin.

    Permohonan bantuan ini boleh dibuat di mana-mana cawangan LZS atau melalui Penolong Amil Kariah yang dilantik oleh LZS, yang beroperasi di masjid-masjid di Selangor. LZS mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf melalui beberapa kaedah iaitu:

    1. Bantuan secara terus kepada asnaf. Sebagai contoh Bantuan Kewangan Bulanan, Bantuan Keperluan Hidup, Bantuan Bencana Alam dan sebagainya.
    2. Bantuan yang disalurkan menggunakan kaedah penyumberluaran (outsourcing). Contohnya Bantuan Makanan Bulanan yang diuruskan oleh Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS).

    Bantuan yang disalurkan kepada asnaf melalui pihak ketiga. Sebagai contoh Bantuan Keperluan Pendidikan Sekolah, Bantuan Sewa Rumah, Bantuan Dialisis dan lain-lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.