Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

226) TAWARAN PENDIDIKAN TINGGI KEPADA BELIA

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tawaran/ peluang yang disediakan oleh kerajaan Selangor kepada belia yang tidak mendapat tempat di IPT dan Pusat Kemahiran TVET?

    Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai usaha menarik minat pelajar lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang TVET. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program IKTISASS adalah:

    1. Tawaran pengajian dalam pelbagai bidang di institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor iaitu UNISEL, UIS dan STDC. Bantuan kewangan melalui Program Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) kepada pelajar yang mendaftar dan meneruskan pengajian di UNISEL, UIS dan STDC turut disediakan kepada yang layak bagi meringankan beban kewangan pelajar sepanjang tempoh pengajian.
    2. Menawarkan program-program pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di STDC yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorientasikan industri. Syarat kemasukan bagi program ini juga adalah pada syarat minima iaitu Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M) bagi menggalakkan pelajar lepasan sekolah dan pelajar tercicir daripada pendidikan formal untuk mengikuti pengajian dalam bidang yang diminati.
    3. Menawarkan Program Kemahiran Profesional di STDC dengan kolaborasi bersama syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes dan Technical University of Munich (TUM). Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga menganjurkan Program Selangor Job Fair di peringkat Negeri atau Selangor Job Care di peringkat Daerah/ Zon secara tahunan dengan penyertaan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam bidang kemahiran TVET kepada belia yang berminat untuk bekerja dan menimba pengalaman dalam bidang tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.