Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

210) PEMBANGUNAN GEOPARK GOMBAK-HULU LANGAT

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status semasa pembangunan Geopark di Selangor?

    Untuk makluman, Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark telah mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan pada 14 November 2022 oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) kini dikenali sebagai NRES. Badan Pengurusan GHL Geopark kini sedang dalam usaha mempromosi dan menghebahkan maklumat dan kesedaran kepada orang awam melalui platform media sosial, laman sesawang, libat urus, kajian bersepadu dan penganjuran program.

    GHL Geopark dalam perancangan untuk melaksanakan program rasmi pemasyhuran GHL Geopark pada 14 November 2024 di mana pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian (NRES) akan menyerahkan sijil rasmi pengiktirafan Geopark Kebangsaan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark dalam perancangan untuk melaksanakan program perasmian pemasyhuran GHL Geopark pada 14 November 2024 di mana pihak NRES akan menyerahkan sijil rasmi pengiktirafan Geopark Kebangsaan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

    Selain itu, terdapat banyak program, pembangunan infrastruktur dan promosi geopark yang telah dan akan dilaksanakan pada tahun 2024 yang melibatkan sesi libat urus bersama pihak PBT, komuniti setempat dan sekolah-sekolah rintis seperti berikut:

    • Sesi Libat Urus Bersama Sekolah-Sekolah Rintis Geopark

    Untuk makluman, sesi libat urus bersama pihak sekolah-sekolah rintis telah dilaksanakan bersama Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Gombak dan Jabatan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sekolah-sekolah rintis yang terlibat adalah seperti berikut:

    1. SK Dusun Tua;
    2. SK Taman Melawati; dan
    3. SK Batu Arang.

    Melalui sesi libat urus ini, sebuah modul pembelajaran Geopark untuk sekolah telah dihasilkan melalui dua (2) sesi Focus Group Discussion (FGD) yang bertempat SK Batu Arang dan Bangi Hotel Resort.

    1. Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Setempat

    Sesi libat urus bersama komuniti setempat juga telah dilaksanakan melalui Sesi Sembang Santai Komuniti GHLGp pada 11 Mei 2024, bertempat di Batu 18, Hulu Langat, Selangor.

  2. Apakah pelan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri dan berapa peruntukan Kerajaan Negeri yang terlibat dalam pembangunan Geopark?

    Berikut merupakan pelan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri dan berapa peruntukan Kerajaan Negeri yang terlibat dalam pembangunan Geopark.

    PELAN JANGKA PENDEK

    • Sesi libat urus berkala bersama Geo-komuniti di daerah Gombak dan Hulu Langat.
    • Penganjuran Program Tahunan Geopark seperti :
      1. Geopark Ampang Jaya Night Run
      2. Geopark Ampang Jaya Trail Run
    • Geopark Gunung Nuang Ultra Trail Run
    1. Karnival Gua Damai Extreme Park
    2. Batu Arang MTB Geo Trail Challenge
    3. Ekspedisi Saintifik GHL Geopark
    • Pembukaan semula secara terkawal kawasan geotapak Permatang Kuarza Gombak Selangor sebagai geotapak utama yang mempunyai Oustanding Universal Value (OUV) kepada pengunjung domestic dan antarabangsa.
    • Menaiktaraf infrastruktur pelancongan di kawasan Geotapak terpilih seperti papan informasi, tandas, parkir awam dan lain-lain.
    • Penubuhan program Geo-guide dan Malim Gunung rasmi GHL Geopark.
    • Pemerkasaan Geo-School sebagai platform pendedahan awal ilmu pengetahuan GHL Geopark
    • Sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pelabur berpotensi tinggi untuk meningkatkan Geopark Visibility melalui Pembangunan projek-projek Geo- pelancongan berpotensi tinggi.

    PELAN JANGKA PANJANG

    Sasaran jangka masa panjang GHL Geopark adalah mendapatkan Pengiktirafan Unesco Global Geopark (UGGp) menjelang 2028 :

    • Berdasarkan data terkini, terdapat 2 geopark bertaraf UNESCO Global Geopark di dalam Malaysia iaitu Langkawi UGGp dan Kinabalu UGGp. Manakala Geopark Kebangsaan yang sedang memohon penilaian UNESCO adalah Sarawak Delta Geopark dan Lenggong Geopark.
    • Pengurusan GHL Geopark menyasarkan pengiktirafan Unesco Global Geopark pada tahun 2028 sebagai salah satu strategi meningkatkan nilai kelestarian Negeri Selangor ke peringkat antarabangsa.
    • Pengiktirafan ini bukan sahaja memberikan faedah kepada GHL geopark malah ianya memberikan impak dan faedah menyeluruh kepada Kerajaan Negeri Selangor.
    • Pengiktirafan ini dapat di capai dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan pelan pengurusan GHL Geopark serta sokongan Kerajaan Negeri Selangor.

    SALURAN PERUNTUKAN KEWANGAN

    Kerajan Negeri Selangor telah mengumumkan peruntukan pembangunan GHL Geopark berjumlah RM2,000,000.00 di dalam belanjawan Negeri Selangor 2024. Setakat ini, pihak Badan Pengurusan GHL Geopark telah menerima penyaluran peruntukan berjumlah RM500,000.00 sahaja.

  3. Apakah agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan pembangunan Geopark?

    Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 32/2021 pada 29 September 2021 telah bersetuju untuk melantik Tourism Selangor sebagai Badan Pelaksana GHL Geopark yang diamanahkan untuk menyelaras dan melaksana aktiviti-aktiviti dalam GHL Geopark seperti yang diputuskan di peringkat Badan Pengurusan GHL Geopark.

    Pihak Tourism Selangor bertanggungjawab mentadbir kawasan Gombak-Hulu Langat Geopark seluas 112,955 hektar terdiri daripada dua (2) daerah iaitu Gombak dan Hulu Langat serta merangkumi 3 pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS)

Lampiran

Tiada Lampiran.