Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
201) VAKSIN DENGGI
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dengan penemuan terbaru vaksin denggi, Qdenga, adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan vaksin ini secara percuma kepada rakyat?
JKNS
a) Untuk makluman, vaksin denggi Qdenga keluaran Takeda masih baru di pasaran dan setakat ini hanya menerima pendaftaran bersyarat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-393. Dalam kajian TIDES yang telah dilaksanakan di Latin Amerika (Brazil, Colombia, Nicaragua dan Panama) serta di Asia (Filipina, Sri Lanka dan Thailand) yang melibatkan lebih 20,000 kanak-kanak dan remaja antara umur 4 hingga 16 tahun yang tinggal di kawasan endemik demam denggi, hasil kajian menunjukkan yang vaksin ini dapat mengurangkan kemasukan kes demam denggi ke hospital serta berkesan terhadap pesakit yang disahkan mendapat demam denggi (virologically confirmed dengue). Namun, keberkesanan vaksin ini untuk tempoh masa yang lama masih memerlukan lebih banyak data.
Sehingga kini tiada perancangan oleh KKM untuk membuat perolehan vaksin denggi tersebut dan pelaksanaan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta PKD adalah tertakluk kepada polisi oleh KKM setelah pertimbangan pelbagai aspek terutama sekali keberkesanan vaksin untuk jangka masa yang lama serta keselamatan (safety) kepada penerima.
SPBT
Kerajaan Negeri mengambil maklum berhubung penemuan vaksin denggi iaitu Qdenga yang telah menerima kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Ke-393. Kajian yang dilaksanakan oleh Tetravalent Immunization against Dengue Efficacy Study (TIDES) yang telah dilaksanakan di negara Amerika Selatan (Brazil, Colombia, Nicaragua dan Panama) serta di Asia (Filipina, Sri Lanka dan Thailand) yang melibatkan lebih 20,000 kanak-kanak dan remaja berumur antara 4 hingga 16 tahun yang tinggal di kawasan endemik demam denggi. Hasil kajian menunjukkan yang vaksin ini dapat mengurangkan kemasukan kes demam denggi ke hospital serta berkesan terhadap pesakit yang disahkan mendapat demam denggi (virologically confirmed dengue). Namun, keberkesanan vaksin ini untuk tempoh masa yang lama masih memerlukan pengumpulan lebih banyak data.
Justeru itu, perkara ini sedang dalam penelitian lanjut oleh Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) bersama pakar-pakar kesihatan awam yang berkaitan.