Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
197) TINDAKAN UNDANG-UNDANG PERCUKAIAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status tindakan undang-undang percukaian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap MBI, PNSB dan Air Selangor? Berapakah jumlah tuntutan LHDN terhadap MBI, PNSB dan Air Selangor?
MBI
a) Tiada tindakan undang-undang percukaian terhadap MBI kerana Notis Pemberhentian telah difailkan pada 28.2.2023. Air Selangor juga tidak tertakluk tindakan undang-undang percukaian. Manakala, pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan sedang berlangsung di peringkat PNSB.
Cadangan penyelesaian global tunggakan cukai MBI dan anak syarikat milikannya beserta justifikasi telah dikemukakan kepada LHDN untuk pertimbangan. Pengurusan MBI sedang berunding dengan LHDN bagi memastikan tunggakan cukai dapat diselesaikan dengan memperoleh persetujuan dari kedua-dua pihak ke atas cadangan penyelesaian.
Untuk tempoh berakhir 31 Disember 2023, tiada sebarang liabiliti cukai tertunggak yang perlu dibayar pada ketika ini bagi MBI dan anak-anak syarikat yang berkenaan.
AIR SELANGOR
a) Tiada tindakan undang-undang percukaian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Air Selangor.
Tindakan undang-undang percukaian yang diambil oleh LHDN adalah terhadap anak syarikat Air Selangor iaitu syarikat-syarikat konsesi air yang diambil alih oleh Air Selangor selaras dengan penstrukturan semula industri air Selangor. Kesemua kes undang-undang percukaian terhadap anak syarikat ini masih dalam proses litigasi.
Syarikat-syarikat konsesi air ini ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan PNSB Water Sdn Bhd (PNSB Water), sudah berhenti operasi dan sedang dalam proses penggulungan. Seperti yang dinasihatkan oleh peguam Air Selangor, liabiliti cukai anak syarikat Air Selangor tidak akan dipindahkan kepada Air Selangor walaupun anak syarikat sudah berhenti operasi.