Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
184) SISTEM PENGURUSAN ALIRAN TRAFIK
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri dapat menyenaraikan bandar-bandar utama yang mempunyai aliran trafik yang tinggi di Negeri Selangor?
Bandar-bandar utama di dalam Negeri Selangor yang mempunyai aliran trafik yang tinggi adalah di bandar Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Klang. Merujuk kepada data kajian Road Traffic Volume Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya, laluan FT02, Lebuhraya Persekutuan telah dikenalpasti sebagai laluan aliran trafik yang tinggi dengan Level of Service (LOS) F (tahap kesesakan paling teruk) menghubungkan keempat-empat bandar tersebut.
-
Apakah perancangan yang diambil untuk menambahbaik sistem pengurusan aliran trafik di bandar-bandar utama di Negeri Selangor?
Bagi menambahbaik sistem pengurusan aliran trafik terutama di bandar-bandar utama, Kerajaan Negeri komited untuk menjalankan kajian dan cadangan naiktaraf bagi penyuraian trafik untuk memastikan masalah kesesakan trafik dapat diselesaikan. Selain itu, terdapat juga kerja-kerja naiktaraf yang telah dijalankan oleh pemaju bagi memastikan aliran trafik terkawal selepas sesuatu pembangunan siap dibina dengan pemantauan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Kerajaan Negeri dalam proses untuk menyemak semula Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor yang akan dijenamakan sebagai Pelan Induk Mobiliti Selangor, di mana pelan tersebut akan dijadikan sumber rujukan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor bagi menambahbaik sistem pengangkutan awam negeri. Melalui Pelan Induk ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengkaji dan menyelaras semula mobiliti di Selangor bagi melengkapi kemudahan pengangkutan awam secara keseluruhan. Bengkel Pembangunan Pelan Induk baharu dijangka akan dilaksanakan pada Julai 2024, di mana Pelan Induk tersebut antara lainnya akan mengambilkira aspek mod pengangkutan awam sedia ada, keperluan penambahbaikan sistem pengangkutan awam dan sebagainya.