Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
177) PENUKARAN STATUS LOT LIDI
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah terdapat kaedah untuk Kerajaan Negeri mempermudah penukaran status tanah lot lidi menjadi milik individu dengan cara memberikan geran secara bersyarat?
Pembangunan lot lidi adalah melibatkan pembangunan kediaman di atas tanah milik kategori pertanian yang dimiliki oleh seorang pemilik berdaftar atau hakmilik bersama yang dikongsi oleh beberapa tuan tanah. Adalah menjadi satu kesalahan membangunkan kawasan kediaman di atas tanah kategori pertanian tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Pemilik tanah boleh dikenakan tindakan dibawah seksyen 127 Kanun Tanah Negara kerana berlaku perlanggaran syarat tanah yang akan mengakibatkan tanah boleh dilucut hak.
Pembangunan lot lidi hanya melibatkan perjanjian jual beli antara pemilik tanah dan pembeli tanpa melibatkan kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan kelulusan tanah dari Pihak Berkuasa Negeri.
Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri mengambil serius pelaksanaan yang melibatkan urusan pembangunan lot lidi yang tidak sah mengikut undang-undang. Ini akan memberi kesan kepada pembeli pada masa akan datang.
-
Apakah Kerajaan Negeri mempunyai cara atau inisiatif bagi membolehkan rakyat untuk membeli tanah sendiri?
Permohonan pelupusan Tanah secara pemberimilikan tanah dibawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara boleh dikemukakan untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri. Walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada ulasan teknikal agensi yang berkaitan.