Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

151) SUKAN MALAYSIA

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai perancangan untuk menganjurkan kejohanan Sukan Malaysia pada masa akan datang setelah kali terakhir menganjurkannya pada tahun 1998?

    Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ini telah diperkenalkan pada tahun 1986 dengan Kuala Lumpur dipilih selaku tuan rumah pertama Temasya pada ketika itu. Temasya sukan ini akan dilaksanakan setiap dua tahun sekali mengikut negeri sehingga tahun 2010. Pada tahun tersebut Majlis Sukan Negara Malaysia telah memutuskan untuk pelaksanaan Temasya SUKMA dianjurkan setiap tahun mulai tahun 2011 dengan Majlis Sukan Negara bertindak sebagai tuan rumah pada setiap tahun ganjil manakala tahun genap akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

    Walau bagaimanapun Penganjuran Temasya Sukan Malaysia pada tahun ganjil telah dihentikan pada tahun 2015, atas sebab agenda sukan negeri yang padat dan kos yang tinggi buat Majlis Sukan Negeri untuk membiayai sebuah kontingen Sukan Malaysia pada setiap tahun.

    Bermula tahun 2022 Majlis Sukan Negara Malaysia telah menetapkan penganjuran pemilihan Tuan Rumah SUKMA bermula bagi tahun 2024 hingga 2032 berasaskan penggiliran antara Negeri dan Kerajaan Pusat seperti berikut:

    • 2024 –   Sarawak
    • 2026 –   MSNM
    • 2028 –   Kelantan
    • 2030 –   MSNM
    • 2032 –   Sabah

    Namun bagi mana-mana negeri yang berhasrat untuk bertindak sebagai Tuan Rumah pelaksana Temasya SUKMA ini ianya boleh menyatakan hasrat tersebut bagi tahun penganjuran yang dikelolakan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia.

    Sepanjang tempoh 21 kali penganjuran dari 1986 hingga 2024 ini, Negeri Selangor telah menjadi tuan rumah sekali pada tahun 1998 ( 26 tahun ) dan ketika itu Kontinjen negeri Selangor telah berjaya menjuarai Temasya SUKMA tersebut.

    Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk menjadi Tuan Rumah bagi penganjuran tahun 2026 yang akan datang dan telah mengadakan perbincangan Menteri Belia dan Sukan untuk menyatakan minat untuk menganjurkan Temasya Sukan Malaysia ( SUKMA ) 2026.

    Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri perlu mengkaji sebaiknya jumlah peruntukan yang akan disalurkan oleh Kementerian Belia & Sukan memandangkan jumlah kos besar yang dianggarkan berjumlah RM 250,000,000.00 melibatkan kos dari aspek antaranya penyediaan teknikal, pengurusan sekretariat, sistem teknologi ICT/ sistem, logistik/pengangkutan, media, promosi, protokol, hadiah, keselamatan/kecemasan, sukarelawan, dan infrastruktur/peralatan.

    Keputusan untuk menjadi tuan rumah Temasya ini akan diputuskan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

Lampiran

Tiada Lampiran.