Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
146) PENYATA KEWANGAN AGENSI KERAJAAN NEGERI
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk memastikan Penyata Kewangan Agensi Negeri dikemukakan dengan lengkap selaras dengan piawaian perakaunan yang berkuat kuasa dan boleh diaudit mengikut tempoh yang ditetapkan?
Untuk makluman YB Hulu Kelang, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan semua Agensi Negeri menyediakan Penyata Kewangan masing-masing berdasarkan garis panduan, polisi dan dasar piawaian perakaunan dan pelaporan kewangan yang digunapakai. Ini penting bagi tujuan pengauditan dan pengesahan kedudukan kewangan agensi negeri oleh Jabatan Audit Negara.
Kerajaan Negeri sedia maklum tarikh-tarikh penting penyerahan penyata kewangan untuk tujuan pengauditan berdasarkan tarikh yang dinyatakan dalam Akta 240 bagi Badan Berkanun Negeri dan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Telah menjadi amalan Kerajaan Negeri menguatkuasakan tarikh serahan selewat-lewatnya 30 April setiap tahun berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang telah dibuat pada 20 April 2009. Mana – mana agensi yang serahan Penyata Kewangan melewati tarikh 30 April dan masih dalam tempoh 6 bulan dari tarikh berakhirnya tahun kewangan, agensi perlu mendapatkan perakuan daripada Pegawai Kewangan Negeri Selangor. Bagi kes-kes serahan yang melepasi tempoh 6 bulan, perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Berkuasa Negeri/Menteri Besar untuk diangkat bagi kelulusan Menteri yang berkaitan.
Tindakan Kerajaan Negeri melalui Perbendaharaan Negeri Selangor akan sentiasa mendapatkan maklumbalas daripada agensi Negeri berhubung kemajuan penyediaan penyata kewangan dan melaporkan status serahan penyata kewangan agensi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar setiap tahun. Adalah juga menjadi tanggungjawab semua Ketua Pegawai Eksekutif Badan Berkanun Negeri dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri untuk memastikan penyata kewangan masing masing dapat disediakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.