Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
142) SISTEM PENGURUSAN PEPEJAL DAN KITAR SEMULA
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini program kitar semula yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri?
Kerajaan Negeri Selangor sedang mempergiatkan Program Kitar Semula melalui Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG). Justeru, pada tahun ini, sebanyak 184 program kitar semula giat dilaksanakan oleh PBT dan antara program tersebut seperti berikut:
- Pusat Kitar Semula dan Pengkomposan Anaerobic Digester PJ Eco Recycling Plaza Di SS8 Kelana Jaya;
- Program Kitar Semula Projek CARETON Kerjasama MBPJ, MILO Dan Tetra Pak MalaysiaDi PJ Eco Recycling Plaza SS8;
- Program Recycle & Redeem Caj Beg Plastik Sempena Karnival Mini Usahawan MBPJ, Seksyen 52;
- Pengasingan Sisa Makanan / Sisa Organik Di Gerai, Pasar Dan Restoran Di Shah Alam;
- Mysave Food Bazar Ramadhan Di Pasar Ramadan Shah Alam;
- Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna Di Vista Alam, Wisma MBSA, Sekolah Dwi Emas Dan Uitm Shah Alam;
- Program Kiosk Jom Kitar Kumpul Dan Tukar (Konsep Penebusan) Di Kawasan MPP MBSJ (24 Zon) Bazar MBSJ, USJ 7;
- Program Pengasingan Sisa Kawasan Perumahan Seluruh Kawasan MPP MBSJ (24 Zon);
- Penyediaan Pusat Transit Kitar Semula Kerjasama MBSJ Dan KDEB Waste Management Di Bandar Bukit Puchong;
- Program Trash Hero Ampang JayaDi Taman Town Park Pandan Indah;
- Pusat Kitar Semula Jalan Adenium, Bukit BeruntungDi Jalan Adenium 4, Bandar Bukit Beruntung;
- Program Pengumpulan Barangan Terpakai, Pakaian Terpakai Dan Minyak Masak Terpakai Pada Setiap Bulan, Hari Sabtu Minggu Ke-3 Di Pasar Awam Banting; dan
- Program Bank Kitar Semula Peringkat Sekolah Tahun 2024.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menambahbaik sistem pengurusan pepejal dan kitar semula di Negeri Selangor?
Perancangan jangka masa panjang bagi pengasingan sampah dan kitar semula di Negeri Selangor adalah dengan mensasarkan peningkatan kadar kitar semula sebanyak 3 peratus setiap tahun dan mencapai 15 peratus menjelang tahun 2025 sebagaimana yang dinyatakan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Kerajaan Negeri juga turut menyasarkan pembinaan sekurang-kurangnya 12 Material Recovery Collection Facility (MRCF) oleh KDEB Waste Management yang merangkumi Buy Back Center dan Drop of Point di seluruh Negeri Selangor untuk kemudahan rakyat negeri ini untuk menghantar barang kitar semula mereka. Pembinaan MRCF ini dijangka akan dapat meningkatkan kadar kitar semula di Negeri Selangor selain dapat menjana data yang lebih inklusif bagi mengukur keberhasilan inisiatif kitar semula di negeri ini.
Selain itu, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dengan kerjasama KDEB Waste Management Sdn. Bhd. akan menyediakan Buy Back Center dan Drop of Point di beberapa kawasan perumahan strata yang akan dikenal pasti di seluruh Negeri Selangor.