Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

126) KEMPEN KESEDARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan bagi kempen kesedaran kitar semula?

    Kerajaan Negeri terus memperkasakan program/inisiatif untuk kelestarian alam sekitar dengan menjadikan Kempen 3R sebagai komponen utama bagi pengurusan bahan buangan yang lebih baik dan mampan, secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan untuk mengitar semula bahan buangan.

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menetapkan beberapa perancangan dalam memastikan program kitar semula mendapat sambutan daripada semua golongan di Negeri Selangor. Di antara perancangan yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

    • Kerajaan Negeri akan menambah bilangan Reverse Vending Machine (RVW) dan Pusat Kitar Semula (PKS) di kawasan tumpuan penduduk dan menyediakan lebih banyak tong sampah kitar semula berteknologi tinggi di kawasan awam;
    • Membangunkan pusat kitar semula di setiap PBT;
    • Meningkatkan jumlah penyertaan daripada sektor swasta, industri dan komuniti melaksanakan program kitar semula;
    • Meningkatkan jumlah pengeluaran barangan upcycle yang dihasilkan daripada sisa / bahan buangan sebagai bahan baru atau produk baru yang mempunyai kualiti yang hampir sama atau lebih baik serta mempunyai reka bentuk yang kreatif;
    • Memperuntukkan sejumlah dana bagi penganjuran program/kempen/inisiatif kitar semula kepada Jabatan, Agensi Negeri dan komuniti;
    • Melibatkan pihak swasta menerusi Corporate Social Responsibility (CSR) dalam menjayakan pelbagai program kitar semula;
    • Menganjurkan program Karnival Alam Sekitar sebagai salah satu platform untuk dekat kepada masyarakat bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti kitar semula.
  2. Nyatakan prestasi dan perancangan masa depan bagi kempen bebas plastik di Negeri Selangor.

    Kempen Bebas Plastik Negeri Selangor telah bermula sejak Januari 2010 dan sepanjang tempoh itu, Kerajaan Negeri Selangor komited untuk memastikan penggunaan plastik dikalangan masyarakat dapat dikurangkan serta tahap kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan. Kempen ini menjadi sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan jumlah penghasilan sisa pepejal ke pusat pembuangan sampah.

    Berdasarkan kajian tinjauan/survey yang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri pada tahun 2022 sebelum ini, didapati bahawa tahap keberkesanan kempen bebas plastik di Negeri Selangor meliputi dua (2) faktor iaitu penerimaan masyarakat terhadap inisiatif/dasar Kerajaan Negeri dan tindakan/respon bertanggungjawab masyarakat terhadap alam sekitar. Kedua-dua faktor ini menggambarkan prestasi kempen semakin baik dan diterima oleh masyarakat.

    Usaha kerajaan menanam budaya kitar semula di kalangan masyarakat dengan melaksanakan pelbagai kempen menampakkan hasil apabila kadar Kitar Semula Kebangsaan tahun 2023 yang dipantau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menunjukkan peningkatan kepada 35.4% peratus berbanding sasaran 35%, dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.933 juta tan. Selain itu, tahap kitar semula di kalangan rakyat juga semakin meningkat dari tahun ke tahun yang dibuktikan dengan statistik kutipan sampah kitar semula yang meningkat kepada 2,602,940.62 tan pada tahun 2023 berbanding 219,920.68 tan pada tahun 2020.

    Sejak kempen ini diperkenalkan, penerimaan masyarakat terhadap inisiatif pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar semakin baik. Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat telah berjaya dipupuk dan mengubah mentaliti masyarakat ke arah mementingkan kelestarian alam sekitar. Maka, pembentukan dan pelaksanaan dasar negeri akan lebih teratur dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

    Hasil daripada penganjuran program/kempen kitar semula oleh PBT, Jabatan dan Agensi, masyarakat telah mula melibatkan diri dalam aktiviti pengasingan sampah dan melaksanakan kitar semula di kawasan kediaman masing-masing. Ini menunjukkan ketersediaan dan perubahan daripada segi tingkah laku masyarakat secara sukarela dan bertanggungjawab terhadap alam sekeliling telah meningkat. Selain itu, keberkesanan kempen juga diukur berdasarkan kepada penganjuran kempen/program kitar semula yang dilihat telah mencakupi kolaborasi antara masyarakat, Agensi Kerajaan dan sektor swasta secara menyeluruh.

    Bagi menggerakkan usaha ke aras sifar beg plastik, berikut adalah halatuju Kerajaan Negeri bagi mencapai sasaran tersebut di negeri ini:

    • Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengadakan Hari Tanpa Beg Plastik pada hari-hari yang terpilih bagi menggalakkan serta menyedarkan masyarakat untuk membawa beg sendiri ketika membeli belah;
    • Melaksanakan kajian bagi mengenal pasti alternatif dan amalan baharu yang boleh dipraktikkan bagi menggantikan penggunaan plastik dalam rutin harian masyarakat;
    • Semakan semula Garis Panduan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor daripada aspek perundangan, penguatkuasaan, kadar kutipan dan kaedah pelaksanaan;
    • Kempen kesedaran dan pendidikan akan terus diperhebatkan menerusi penganjuran Karnival Alam Sekitar yang akan diadakan bermula bulan Julai hingga Disember 2024 bagi memastikan mesej-mesej kesedaran dapat disalurkan ke semua peringkat masyarakat; dan
    • Sesi libat urus dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan seperti pemain industri akan diadakan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumbalas dan input dalam menguatkuasakan dasar larangan penggunaan plastik sepenuhnya di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.