Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
103) STATUS LOJI RAWATAN AIR SUNGAI RASAU
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau?
Sehingga 31 Mei 2024, kemajuan kerja bagi keseluruhan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sg. Rasau dibawah seliaan Air Selangor ialah pada 17.76% kemajuan sebenar sebenar bebanding 36.12% yang dijadualkan.
Kemajuan kerja ini tidak mengikut jadual asal pembinaan loji yang dilaksanakan dalam Pakej 1 kerana berlaku kelewatan dalam mendapatkan penganugerahan tender bagi pakej sumber air mentah (source works) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) – Bahagian Bekalan Air (BBA). Walau bagaimanapun, Air Selangor mengambil langkah proaktif dengan merancang Pelan Intervensi bagi menangani isu sumber air mentah ini bagi memastikan projek dapat berjalan dengan lancar. Selain itu, kerja tambakan tanah yang mengambil masa disebabkan oleh proses surcaj dan faktor keadaan tanah yang lembut (soft ground) dan kelewatan kelulusan pembinaan jambatan merentasi lebuh raya turut menyumbang kepada kelewatan Pakej 1.
Bagi Pakej 2 dan 3 pula, kelewatan dalam kelulusan permit kerja merupakan faktor utama kepada kelewatan ini. Permohonan kelulusan dan dokumen sokongan bagi permit kerja-kerja telah dikemukakan oleh Air Selangor kepada pihak Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan beberapa siri perbincangan bersama KUSEL bermula pada tahun 2022 sehingga kini telah diadakan. Sehingga kini, Air Selangor masih menunggu kelulusan tersebut dimuktamadkan daripada pihak KUSEL. Selain itu, kelewatan kelulusan penuh bagi Kebenaran Merancang bagi pembangunan di Kolam Air Bukit Lipat Kajang disebabkan kajian lanjut bagi mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JKSAS) memandangkan pembangunan di kawasan cerun juga menyumbang kepada kelewatan keseluruhan Skim Bekalan Air Rasau.
Untuk makluman, bagi Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1, fasa awal pembinaan dijangka siap pada 2025 dengan kapasiti penghasilan air terawat 350 juta liter sehari (JLH); dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026. Manakala, bagi Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 2 pula dijangka siap pada 2028. Status terkini bagi Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 2 adalah dalam fasa lantikan jurukur dan jurutera perunding untuk perancangan peringkat awal.
-
Syarikat manakah yang telah dilantik untuk kerja-kerja source works?
Sehingga kini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) masih belum menganugerahkan kerja-kerja pakej sumber air mentah (source work).
-
Adakah LRA Sungai Rasau boleh dikomisyen pada 2025 seperti disasarkan?
Disebabkan keperluan source work, LRA Sg. Rasau hanya boleh ditauliahkan untuk membekalkan 350 juta liter sehari (JLH) pada penghujung tahun 2025 dengan pelan intervensi yang akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam masa terdekat.