Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
84) PENDIDIKAN KEMAHIRAN SEPANJANG HAYAT
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah Kerajaan Negeri mengehadkan umur penerima Inisiatif Kemahiran Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) kepada 16 hingga 30 tahun sahaja?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) sangat menitik beratkan pendidikan sepanjang hayat di kalangan rakyat dengan penumpuan utama antaranya kepada pelajar yang tercicir dalam akademik dan tidak berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang formal. Peserta program IKTISASS akan menerima manfaat insentif yuran pendaftaran, yuran pengajian dan latihan serta asrama ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor berdasarkan syarat-syarat yang sangat minima.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah menambah baik syarat penajaan had umur kepada antara 16 – 30 tahun ke Pusat Pembangunan dan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dengan insentif IKTISASS bagi Persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Had ini dilaksanakan bagi menumpukan bantuan kepada lebih ramai pelajar lepasan sekolah dan belia muda untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET dengan tajaan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri.
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberikan peluang mengikuti pengajian kemahiran untuk mereka yang berusia lebih 30 tahun?
Kerajaan Negeri merancang untuk merealisasikan harapan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program TVET di pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur melalui inisiatif yang bersasar. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sedang meneliti inisiatif galakkan TVET kepada belia dewasa yang melebihi had umur 30 tahun untuk mengikuti kursus kemahiran bagi meningkatkan kadar keboleh pasaran dan mengurangkan jumlah pengangguran di Negeri Selangor.