Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
67) PERKEMBANGAN TERKINI TENTANG PROJEK TERBENGKALAI RSKU RESIDENSI JAYA
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan terkini berkenaan projek terbengkalai RSKU Residensi Jaya? Adakah kerajaan bersasar untuk menyelesaikan masalah ini sebelum tahun 2025?
Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Sabah Development Bank Berhad (SDB) sebagai pihak kreditor terbesar telah menamatkan perkhidmatan syarikat Grant Thornton Consulting Sdn. Bhd. (GTCSB) sebagai penerima dan pengurus memandangkan masih gagal menyelesaikan masalah projek terbengkalai ini dalam masa yang telah ditetapkan. Pada 14 Februari 2024 pihak SDB telah melantik Syarikat RKN & Co sebagai pihak penerima dan pengurus yang baharu menggantikan GTCSB bagi meneruskan penyelesaian projek ini dan pada 20 Februari 2024, pihak RKN & Co telah datang untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi menyatakan perancangan dan halatuju untuk penyelesaian projek terbengkalai ini. Seterusnya pihak RKN & Co telah mengemukakan permohonan bagi meminda komponen RSKU dan telah dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku Bil 2/2024 pada 4 April 2024 namun, cadangan itu telah ditolak oleh Jawatankuasa memandangkan cadangan tersebut tidak memelihara kepentingan awam dalam penyediaan rumah untuk golongan sasaran.
Sehubungan dengan itu, pada 13 Mei 2024 LPHS telah mengadakan Mesyuarat Bagi Membincangkan Cadangan Penyelesaian Projek dan telah dipengerusikan oleh YB Borhan bin Aman Shah (EXCO Perumahan Dan Kebudayaan Negeri Selangor) di mana pihak RKN & Co telah membentangkan cadangan untuk meminda komponen RSKU kepada sebahagian komponen RSKU dan sebahagian lagi pembangunan kos bebas sebagai cadangan penyelesaian projek terbengkalai ini. Cadangan ini kelak akan dibentangkan semula di Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk kelulusan.
Sekiranya persetujuan dapat dicapai oleh semua pihak, Kerajaan Negeri menjangkakan bayaran balik wang deposit pembeli dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun 2025.