Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

61) PENUTUPAN KILANG GOODYEAR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan intervensi Kerajaan Negeri dalam membantu lebih 500 orang pekerja di kilang Goodyear Shah Alam?

    Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan isu kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat di negeri ini. Sepertimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, pada 7 Mac 2024, syarikat pengeluar tayar global, Goodyear Malaysia Berhad (Goodyear) telah membuat keputusan untuk menutup operasinya di Shah Alam yang memberi kesan kepada kakitangan sedia ada. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia bersama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengambil tindakan intervensi dengan mengadakan satu sesi perjumpaan dengan wakil syarikat Goodyear cawangan Shah Alam pada 26 Mac 2024 bagi membincangkan isu kebajikan melibatkan seramai hampir 500 orang pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan susulan penutupan kilang.

    Beberapa inisiatif atau pendekatan telah dibincangkan dan dipersetujui, khususnya untuk membantu para pekerja yang bakal ditamatkan pekerjaan. Antara inisiatif yang dipersetujui pada ketika itu adalah dengan menyediakan peluang pekerjaan melalui temuduga secara fizikal melibatkan dua puluh dua (22) syarikat tempatan daripada pelbagai industri di kilang Goodyear pada 22 hingga 26 April 2024.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan penyertaan pekerja yang telah kehilangan pekerjaan untuk menghadiri temuduga kerjaya semasa Program Jelajah Jobcare anjuran Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dengan kerjasama bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Program tahunan berkonsepkan pameran kerjaya ini dilaksana secara berperingkat di sembilan (9) daerah dalam negeri Selangor. Sasaran utama program ini adalah anak tempatan yang sedang mencari pekerjaan atau yang telah kehilangan pekerjaan dan menawarkan pekerjaan dalam pelbagai bidang pengkhususan.

    Pekerja yang berminat menyertai perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan di bawah ekonomi Gig menggunakan kenderaan pacuan dua roda pula ditawarkan untuk memohon bantuan di bawah Program Bike Care – 1000. Program di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia ini membantu rakyat di negeri Selangor yang berminat menjana pendapatan di bawah ekonomi Gig melalui pemberian sumbangan berbentuk wang pendahuluan (deposit) berjumlah RM1,000.00 bagi yang berkelayakan membeli sebuah motosikal bersesuaian.

    Oleh yang demikian, saya percaya dengan inisiatif atau cadangan penyelesaian melalui perjumpaan tersebut, Kerajaan Negeri telah membantu ramai dalam kalangan pekerja di kilang Goodyear Shah Alam yang telah kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan kembali pekerjaan sesuai dengan kelayakan setara yang dimiliki oleh mereka. Kerajaan Negeri komited untuk terus membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku melibatkan para pekerja khususnya yang kehilangan pekerjaan dalam memastikan mereka kembali bekerja dan terus menyumbang ke arah produktiviti negara.

  2. Siapakah pemilik tanah bagi tapak kilang tersebut?

    Kilang Goodyear di Seksyen 15 Shah Alam merupakan tanah hakmilik Goodyear Malaysia Berhad yang akan tamat pegangan pajakan pada 18 September 2078.

  3. Apakah cadangan kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah berkenaan nanti?

    Berkenaan cadangan Kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah berkenaan, sebarang cadangan pembangunan adalah bergantung kepada perancangan pemilik tanah, tertakluk kepada pematuhan kepada syarat nyata tanah, Rancangan Tempatan MBSA serta syarat-syarat agensi teknikal yang berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.