Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

45) BANTUAN PERNIAGAAN KHAS KEPADA WANITA, IBU TUNGGAL DAN OKU

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah insentif yang disediakan untuk OKU Dewasa Selangor khususnya dari segi penjanaan ekonomi?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS), YAWAS telah menjalankan program Independent Living Support Centre (ILSC) bermula pada tahun 2022. Program ini berfokuskan kepada belia berumur 17 sehingga 25 tahun dengan diberikan latihan pekerjaan serta penempatan pekerjaan selepas tamat latihan.

    Latihan diberikan kepada peserta yang terpilih selama tiga hingga enam bulan dengan dibiayai melalui geran ILSC. Selepas peserta mendapat tawaran kerja, Job Coaching diberikan kepada peserta agar mereka terus mendapat pekerjaan yang ditawarkan dan tidak diberhentikan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU. Antaranya ialah kerjasama dengan PERKESO untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada peserta setelah tamat latihan.

    Sehingga kini, 25 daripada 35 orang pelajar yang telah tamat latihan di ILSC ditawarkan pekerjaan melalui syarikat panel  PERKESO. Kerjasama juga dilaksanakan dengan Institut Kemahiran Belia Negara dan Badan NGO bagi menyediakan peluang pekerjaan untuk OKU.

  2. Jika tiada, adakah kerajaan mempunyai perancangan menyediakan skim khas bantuan perniagaan untuk membantu golongan ibu tunggal dan OKU?

    Secara umumnya, penyertaan bagi bantuan dan skim perniagaan yang disediakan oleh Kerajaan menerusi Iltizam Selangor Penyayang adalah inklusif dan terbuka kepada semua golongan termasuk ibu tunggal dan OKU. Antaranya ialah Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) serta Skim Hijrah Mikro Kredit.

    Di bawah Wanita Berdaya Selangor, antara usaha untuk membantu golongan ibu tungggal adalah melalui Program Pemberian Geran Ibu Tunggal sebanyak RM5,000 secara one off kepada persatuan ibu tunggal berdaftar di negeri Selangor.

    Pemberian geran ini bertujuan untuk menyuntik dana kepada persatuan agar mereka dapat bergiat lebih aktif ke arah memperkasa golongan ibu tunggal serta ibu tinggal di Selangor termasuk dalam aspek kebajikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.