Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

43) PEMBANGUNAN INDUSTRI DI SERENDAH DENGAN KEWUJUDAN ECRL

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan industri di kawasan Serendah?

    Kawasan Serendah telah dikenalpasti sebagai nukleus utama bagi Hab Pembuatan Pengangkutan yang mana PERODUA, TANCONG MOTORS, UMW Aerospace dan vendor – vendor automotif melabur dan membuka kilang di kawasan ini. Selain itu pembukaan Bandar Industri Bernilai Tinggi Serendah oleh UMW Development Sdn. Bhd. telah menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan Serendah terutama selepas pemindahan Ibupejabat UMW dari Shah Alam ke Serendah dan pelaburan oleh Longi Malaysia di kawasan ini. Selain itu, kawasan Sungai Buaya juga telah menarik pelaburan dengan pembukaan kawasan perindustrian oleh Brem Construction dan MJD Development.

  2. Bagaimana kawasan Serendah dapat dimanfaatkan dengan kewujudan keretapi
    Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ?

    Pembangunan ECRL telah membuka peluang baharu kepada kawasan Serendah bagi dimajukan sebagai Hab Logistik Negara. Dengan adanya Stesen Bandar Serendah yang bakal menjadi petemuan antara rel dari pantai timur, selatan dan utara, Serendah dilihat berpotensi menjadi pusat pengedaran dan logistik. Pelabur boleh menggunakan ECRL bagi mengedarkan barangan ke timur menggunakan Pelabuhan Kuantan, manakala barangan dari timur boleh dihantar ke Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang melalui Stesen Bandar Serendah. Selain itu Stesen Bandar Serendah juga akan berfungsi sebagai stesen penumpang ECRL.

  3. Namakan beberapa potensi jenis pelaburan dan syarikat yang akan dibawa masuk ke kawasan Serendah.

    Jenis pelaburan yang berpotensi untuk dibawa ke kawasan Serendah selepas adanya ECRL adalah syarikat – syarikat logistik. Selain itu pelaburan berasaskan aktiviti hiliran bagi pembuatan pengangkutan juga berpotensi dikembangkan di kawasan Serendah sesuai dengan fungsinya sebagai nukleus utama bagi Hab Pengangkutan Negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.