Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
35) WIFI SMART SELANGOR DI LUAR BANDAR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah program Wifi Smart Selangor yang dirancang untuk memberi liputan internet percuma turut dilaksanakan di luar bandar?
Program WiFi Smart Selangor telah dipasang melalui penjajaran semula sebelum aktiviti penyahaktifan bermula pada 1hb Jun 2024. Pemasangan ini dibuat berdasarkan lima kluster utama berikut:
- Perumahan kos rendah;
- Pendidikan, Kesihatan, dan Keagamaan;
- Pusat Komuniti;
- Pengangkutan, Sukan, dan Rekreasi; serta
- Agensi Kerajaan Negeri.
Oleh yang demikian, lokasi di kawasan luar bandar yang dikenal pasti dalam kluster-kluster ini turut mendapat kemudahan WiFi Smart Selangor yang diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor, bergantung kepada ketersediaan rangkaian infrastruktur telekomunikasi di kawasan tersebut. Rasionalisasi penyahaktifan ini dibuat adalah untuk mengkaji semula keberkesanan WiFi Smart Selangor, selain memperkasakan semula objektif pelaksanaan dan memastikan golongan sasaran di luar bandar menerima manfaatnya.
-
Apakah kekangan yang dihadapi oleh kerajaan untuk melaksanakan program ini di kawasan luar bandar terutama sekali di DUN Permatang?
Untuk makluman Yang Berhormat, bermula 1hb Jun 2024, sebanyak 1,470 access point (AP) di pelbagai lokasi telah dinyahaktifkan bagi mengkaji semula keberkesanan perkhidmatan ini, dengan tujuan memastikan objektif WiFi Smart Selangor tercapai. Objektif ini adalah untuk mengurangkan kesenjangan digital di kawasan luar bandar serta memberi manfaat kepada golongan B40 dan para pelajar. Keputusan ini dibuat antara lain kerana cabaran dalam pembangunan infrastruktur rangkaian yang sering dimonopoli oleh pihak telekomunikasi, yang cenderung untuk menumpukan perhatian di kawasan bandar.
Oleh itu, bagi mencapai solusi kesalinghubungan dan merapatkan jurang digital, Kerajaan Negeri Selangor melalui SMARTSEL Sdn Bhd sedang dalam proses perbincangan dengan pihak telekomunikasi untuk pembangunan infrastruktur rangkaian yang lebih meluas, khususnya di kawasan DUN luar bandar termasuk DUN Permatang. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan liputan komunikasi dan keupayaan rangkaian jalur lebar di kawasan yang terpinggir, agar agenda rasionalisasi perkhidmatan rangkaian berkelajuan tinggi dapat dicapai.