Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

31) PERPARITAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status dan kajian yang telah dibuat oleh pihak JPS terhadap sistem perparitan sepanjang Jalan Sultan Alam Shah Kanchong Darat?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jalan Sultan Alam Shah, Kanchong Darat merupakan Jalan Persekutuan (FT05). Penyelenggaraan bagi jalan dan parit jalan tersebut adalah di bawah selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Langat. Namun demikian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah menghasilkan Pelan Induk Sistem Saliran (Master Plan) bagi Pengurusan Air Ribut (Stormwater) di Daerah Kuala Langat yang telah siap pada tahun 2021.

  2. Adakah peruntukan akan diberi untuk menaiktaraf sistem perparitan di sepanjang jalan ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor tidak memohon peruntukan untuk menaiktaraf sistem perparitan memandangkan sistem perparitan di sepanjang Jalan Sultan Alam Shah, Kanchong Darat adalah di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

  3. Apakah ketetapan penyelenggaraan parit-parit yang tidak bertuan?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri di bawah  Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur pada masa ini dalam proses penyelarasan maklumat yang diperolehi daripada semua Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor. Tindakan seterusnya adalah penentuan pemilikan inventori infrastruktur seperti jalan, longkang dan parit supaya penyeragaman kerja terutama dari segi skop penyelenggaraan jalan dan perparitan di bawah Jabatan/ Agensi lebih terancang dan sistematik.

    Mesyuarat Penyelarasan Isu Jalan, Longkang dan Parit Tidak Bertuan Bil. 1/2024 yang diadakan pada 11 Januari 2024 telah membincangkan data dan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan/ Agensi yang terlibat. Mesyuarat bersetuju agar data dan maklumat tersebut diperhalusi dan dikemaskini.

    Kerajaan Negeri sedang merangka pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan parit, longkang dan jalan tidak bertuan secara one-off dan berperingkat pada tahun 2024 mengikut fasa seperti berikut:-

    1. Fasa 1 – RM2,500,000.00 bagi parit tidak bertuan di bawah JPS Negeri Selangor; dan
    2. Fasa 2 – RM2,500,000.00 bagi parit, longkang dan jalan tidak bertuan di bawah JKR Negeri Selangor, PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah.

    Melalui penyeragaman ini, masalah pertindihan tugasan di antara Jabatan/ Agensi akan dapat diatasi dalam masa yang terdekat demi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.