Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
29) ANAK SELANGOR ANAK SIHAT
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah jangka masa panjang kerajaan terhadap program asas ini?
Pelan jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor untuk Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) adalah mengurangkan isu malnutrisi kanak-kanak melalui kaedah pelaksanaan program yang lebih mampan daripada aspek kewangan dan tenaga kerja. Perkara ini boleh dicapai melalui pengurusan data status pertumbuhan dan pemantauan kanak-kanak yang lebih sistematik dan efisien melalui penggunaan aplikasi SELANGKAH serta penghasilan garis panduan bagi kesihatan kanak-kanak Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri juga dalam peringkat pelaksanaan penubuhan Hub ASAS di setiap DUN yang akan diselaras oleh Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA). Melalui Hub ASAS ini, kanak-kanak akan menjalani proses saringan sebelum diberikan bantuan bakul makanan dan proses pemantauan akan dilaksanakan selama enam (6) bulan untuk menilai kadar perkembangan fizikal kanak-kanak tersebut.
-
Adakah kerajaan ingin bekerjasama dengan JKM bagi memastikan anak-anak ini cukup nutrisi?
Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada aspek pelaksanaan program dan data berkaitan tertakluk kepada perbincangan lanjut di antara kedua belah pihak supaya kerjasama strategik dapat dijalankan secara tersusun dan mencapai objektif yang ditetapkan.
-
Berapakah budget bagi menjalankan program ini?
Sebanyak RM700,000.00 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi meneruskan Program ASAS bagi tahun 2024.