Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
18) PEMBANGUNAN SUKAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan sukan ke arah RMK13?
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan program pembangunan sukan di seluruh Negeri Selangor. Stanco Sukan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor telah membuat perancangan dalam mempertingkatkan kualiti dan program pembangunan sukan sediada bagi memastikan negeri Selangor menjadi peneraju kecemerlangan sukan di Malaysia. Perancangan tersebut akan dibuat selari dengan hala tuju dan matlamat yang telah disusun oleh Majlis Sukan Negara Malaysia.
Saban tahun keperluan peruntukan bagi pelaksanakan program pembangunan sukan akan meningkat. Antara faktor utama penambahan budget peruntukan sukan berlaku adalah disebabkan:-
- Penganjuran kejohanan sukan / Temasya berskala besar untuk semua peringkat dari akar umbi hingga ke elit.
- Perubahan dari segi pengunaan teknologi semasa peralatan sukan mengikut peredaran masa.
- Pendekatan dan pengunaan dari segi keperluan sains sukan.
- Pembiayaan bagi keperluan pembangunan atlet diperingkat akar umbi hingga ke peringkat atlet berprestasi tinggi ( Elit )
Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tahunan kepada Majlis Sukan Negeri Selangor yang mana peruntukan ini diluluskan berdasarkan kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri. Berdasarkan Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030) sememangnya Kerajaan Negeri Selangor akan memberi keutamaan terhadap peruntukan yang melibatkan pembangunan sukan secara keseluruhan di Negeri Selangor.
-
Apakah rancangan kerajaan untuk menambah kemudahan seperti pusat latihan, penganjuran kejohanan dan sebagainya bagi sukan selain daripada bola sepak?
Kerajaan Negeri Selangor sangat mengambil berat terhadap semua kemudahan sukan diseluruh Negeri Selangor. Kebanyakan fasiliti dan kemudahan sukan tersebut adalah di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
PBT diseluruh Negeri Selangor telah diarahkan untuk memastikan kemudahan mahupun fasiliti yang berkaitan Sukan perlu diselenggara dengan baik, diperbaiki dan dipastikan berada ditahap yang baik untuk kegunaan orang awam. Majlis Sukan Negeri Selangor selama ini juga telah menjalankan program pembangunannya atau program latihannya dengan menggunapakai pusat latihan atau fasiliti sukan tersebut.
Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan pembinaan semula Kompeks Sukan Shah Alam ( KSSA ) memenuhi keperluan komuniti sukan. Pembinaan KSSA ini juga akan melibatkan kemudahan-kemudahan sukan selain bola sepak seperti Stadium Tertutup ( Indoor Sports ), kemudahan sukan extreme ( Skateboard / Wall climbing ) dan padang awam yang boleh digunakan oleh pelbagai jenis sukan.
Disamping itu juga, Majlis Sukan Negeri Selangor sedang merancang untuk membina sebuah kompleks Sukan di Seksyen 16 Shah Alam melibatkan kemudahan sukan seperti padang bola sepak, stake park / Gimnasium / basikal trek / ‘Jogging’ / Badminton / Driving range (Golf) & gelanggang serbaguna ( Memanah / Skuasy / Bola Jaring / bola keranjang ) khususnya untuk pusat latihan bagi atlet-atlet diperingkat prestasi tinggi.
-
Bagaimana kerajaan mengelakkan kehilangan atlet kepada negeri lain?
Negeri Selangor mempunyai jumlah kumpulan elit yang sangat besar dalam melahirkan atlet dari peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat elit. Oleh yang demikian terdapat banyak kes memancing atlet untuk mewakili negeri lain dan menyebabkan kita kehilangan atlet berpotensi pasa masa akan datang.
Antara kaedah atau inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengelakan kehilangan atlet ke negeri lain antaranya menawarkan pembayaran elaun latihan mengikut kelayakan / kategori atlet, Pemberian insentif kemenangan atlet, Pengiktirafan kurniaan Pingat Kebesaran Sukan Negeri Selangor, Penganugerahan Sukan Negeri, Tawaran pakej Pendidikan (Biasiswa Sukan), Pendedahan terhadap kursus-kursus keusahawanan, bengkel kemahiran dan sebagainya.
Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji lebih mendalam cara untuk mengelakkan atlet berhijrah atau dipancing negeri lain bagi memastikan ekosistem pembangunan sukan di Negeri Selangor terus stabil dan dapat mengekalkan kecemerlangan sukan.