Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
12) PUSAT DATA DI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apa perancangan negeri untuk menggalakkan lagi pelaburan pusat data di Selangor yang kini telah menunjukkan hasil seperti pelaburan Google di Elmina?
Umumnya, operator pusat data lebih tertarik dengan ketersediaan infrastruktur serta sokongan dari agensi kerajaan dalam memudahcara proses pembangunan pusat data. Pelbagai usaha untuk mempromosikan Selangor telah dijalankan bagi memastikan tawaran nilai atau (‘value proposition’), yang menonjolkan antaranya infrastruktur yang serba lengkap, diketahui oleh para pelabur di serata dunia. Kemasukan syarikat gergasi seperti Google adalah satu testimoni bagi Selangor yang menawarkan infrastruktur yang lengkap serta komitmen tinggi dalam memastikan projek berskala besar ini dipantau dengan lebih teliti.
Dalam masa yang sama, kerajaan Negeri mengambil maklum berkenaan permintaan yang tinggi untuk pembangunan pusat data disebabkan oleh arus teknologi pesat dimana kini pusat data bukan sahaja diperlukan oleh teknologi pengkomputeran awan atau (‘cloud computing technology’) malah dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan atau (‘artificial intelligence technology’) ini, keperluan untuk pembangunan pusat data yang canggih.
Pusat data yang canggih ini memerlukan kapasiti storan data yang lebih tinggi dan yang paling penting sekali adalah tenaga elektrik yang jauh lebih tinggi berbanding versi pusat data sebelumnya. Kapasita keperluan air juga meningkat bagi memastikan sistem penyejukkan yang disediakan memadai.
Kerajaan Negeri telah menganjurkan sesi Focus Group Discussion melibatkan operator pusat data dan agensi-agensi berkaitan pembangunan pusat data baru-baru ini bagi membincangkan berkenaan:
- Meningkatkan ketersediaan utiliti yang stabil dan mencukupi untuk operasi pusat data
- Memudahkan serta mempercepatkan proses kelulusan dan prosedur pentadbiran perniagaan
- Perancangan kerjasama bersama institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan program latihan dan kemahiran bagi menampung keperluan tenaga kerja mahir di sektor ini.
- Menggalakkan pembangunan ekosistem syarikat – syarikat tempatan bagi rantaian bekalan pusat data
Secara ringkasnya, arus teknologi yang pesat telah mendorong perubahan keperluan pusat data terkini dan ini memerlukan kajian yang lebih mendalam dari kerajaan Negeri sebelum melaksanakan dasar atau polisi bagi menarik pelaburan pusat data dengan lebih mampan.
-
Nyatakan maklumat lanjut berkenaan pembangunan pusat data yang bakal dibina oleh Google.
Seperti sedia maklum, pihak Google telah memilih Elmina Business Park yang dibangunkan oleh Sime Darby Property sebagai lokasi bagi pembangunan pusat data mereka. Pusat data ini akan dibina atas tanah Sime Darby Property berkeluasan 19.83 hektar dan disewakan kepada Google dengan nilai kira-kira RM2 billion. Projek ini turut melibatkan syarikat tempatan seperti Gamuda Engineering Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak bernilai RM1.74 bilion untuk membangunkan pusat data ‘hyperscale’. Nilai pelaburan keseluruhan projek ini adalah berjumlah RM9.4 bilion.
-
Bagaimana pusat data akan memanfaatkan pembangunan negeri?
Pusat data yang dibangunkan akan memberikan manfaatkan kepada pembangunan negeri melalui perkara – perkara berikut;
Secara dasarnya Pembangunan pusat-pusat data akan memacu pertumbuhan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Selangor yang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu di dalam bidang teknologi maklumat dan kejuruteraan yang berkemahiran tinggi di kalangan rakyat tempatan.
Pembinaan pusat data yang memerlukan pembangunan infrastruktur digital canggih seperti rangkaian fiber optik, grid elektrik yang stabil dan sistem penyejukan yang efisien menyumbang kepada peningkatan kualiti infrastruktur dan kemudahan asas di Selangor secara keseluruhan yang dimanfaatkan oleh industri dan penduduk tempatan
Pembangunan pusat-pusat data ini juga dapat menarik kehadiran syarikat-syarikat teknologi terkemuka dunia yang akan membawa pemindahan teknologi dan kepakaran baharu yang dapat dimanfaatkan oleh syarikat – syarikat dan rakyat tempatan.