Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
5) INISIATIF LATIHAN KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL (TVET)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status Program Latihan Kemahiran Tahfiz di bawah STDC?
Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi memberi peluang kepada belia dan lepasan sekolah untuk mengikuti latihan kemahiran bagi membolehkan lepasan TVET mendapat pekerjaan yang baik, meningkatkan bilangan usahawan dan kadar keboleh pasaran belia di Negeri Selangor.
Bermula tahun 2021, Kerajaan Negeri telah membantu anak-anak tahfiz di Negeri Selangor untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran dengan syarat yang paling minima iaitu had umur 16 tahun dan tidak memerlukan syarat kelayakan akademik di peringkat Sekolah Menengah.
Direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2023, seramai 103 orang anak-anak tahfiz yang terpilih dan berminat telah mengikuti program IKTISASS yang dijalankan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 – 4. Program ini telah menerima peruntukan berjumlah RM1,143,125.00 meliputi yuran pengajian, pendaftaran dan yuran asrama sepanjang pengajian mereka di STDC.
Bantuan ini diharap dapat menaikkan semangat mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi disamping meringankan beban keluarga yang terlibat dan seterusnya membantu mereka mencari peluang pekerjaan dengan kemahiran yang telah diperolehi.
-
Apakah rancangan bagi memastikan kadar kebolehgajian (employability rate) bagi graduan STDC?
Terdapat beberapa rancangan dan langkah yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan kadar kebolehgajian (employability rate) bagi graduan STDC yang melibatkan beberapa inisiatif strategik, antaranya:
- Pemadanan kurikulum yang relevan dengan keperluan industri: Memastikan kurikulum yang ditawarkan selari dengan keperluan industri semasa di mana pemadanan ini dibuat secara berkala untuk memastikan ia selari dengan perkembangan teknologi agar sesuai dengan keperluan pasaran kerja. Contoh yang diaplikasikan seperti dalam Kursus Motosikal dan Automotif, di mana modul tambahan iaitu kenderaan elektrik (EV) dimasukkan di dalam kurikulum pembelajaran.
- Program sangkutan industri: Menyediakan program sangkutan industri atau On Job Training (OJT) atau internship sebagai syarat wajib untuk graduasi khususnya kepada pelajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dengan matlamat memberikan pelajar pengalaman kerja sebenar.
- Sijil kompetensi/profesional: Selain memiliki SKM, pelajar di STDC turut berpeluang memperoleh sijil tambahan kompetensi/profesional yang boleh menjadi tambah nilai kepada kadar kebolehgajian pelajar, antara contoh kursus yang terlibat ialah;
– Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 Kursus Pentadbiran Sistem Komputer akan memperoleh Sijil SwiftUI Academy dari Apple
– SKM Tahap 3 Kursus Penyamanan Udara akan memperoleh Sijil Juruteknik Penyejukbekuan dan Penyaman Udara dari Jabatan Alam Sekitar.
4. Penyediaan kemahiran insaniah graduan: Menyediakan program latihan tambahan seperti kursus kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kemahiran berkomunikasi, dan pengurusan diri untuk meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran kerja.
5. Sokongan pemindahan kerjaya: Menyediakan program sokongan pemindahan kerjaya termasuk bimbingan hala tuju kerjaya, bengkel penulisan resume dan etika menghadiri temu duga bagi mempersiapkan pelajar untuk memasuki dunia pekerjaan.
6. Penyelidikan pasaran kerja: Melakukan penyelidikan dan analisis terkini mengenai keperluan pasaran kerja untuk memastikan program kemahiran (TVET) yang ditawarkan sentiasa relevan dan bersesuaian.
7. Rangkaian alumni: Membangunkan rangkaian alumni yang aktif untuk menyokong perkongsian maklumat pekerjaan, testimonial, mentor-mentee dan pembangunan profesional.
Melalui pelaksanaan rancangan ini, STDC dapat memastikan bahawa keberhasilan dan kemenjadian graduan adalah dilengkapi dengan kemahiran dan kebolehan yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja sekali gus meningkatkan kadar kebolehgajian mereka.
-
Bagaimanakah strategi yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menarik minat belia menyertai bidang TVET?
- Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam usaha menggalakkan pelajar lepasan SPM dan belia untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran (TVET). Antara inisiatif dan insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) adalah:
Menawarkan program-program pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorientasikan industri. Syarat kemasukan bagi program ini juga adalah pada syarat minima iaitu Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M) bagi menggalakkan lepasan sekolah/ SPM mengikuti pengajian dalam bidang yang diminati;
- Menawarkan Program Kemahiran Profesional dengan kolaborasi bersama syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes dan Technical University of Munich (TUM). Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri.
- Menawarkan bantuan kewangan iaitu Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) kepada pelajar yang layak mendaftar dan meneruskan pengajian di UIS dan UNISEL dalam pelbagai bidang yang ditawarkan bagi meringankan beban kewangan mereka untuk melanjutkan pengajian.
- Menganjurkan Program Selangor Job Fair di peringkat Negeri atau Selangor Job Care di peringkat Daerah/ Zon secara tahunan dengan penyertaan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam bidang kemahiran TVET.