Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
4) PEMBERDAYAAN MASYARAKAT ORANG ASLI TEMPATAN DALAM PEMBANGUNAN PULAU CAREY DAN PELABUHAN CAREY
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Orang Asli
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif kerajaan bagi memberdayakan masyarakat orang asli tempatan (Mah Meri) untuk berada sejajar dengan persiapan pembangunan di Pulau Carey dan Pelabuhan Carey?
Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan kebajikan masyarakat sekitar sebelum suatu pembangunan dilaksanakan. Bagi perancangan pembangunan Pulau Carey dan Pelabuhan Carey, tiada kampung Orang Asli terdekat yang terjejas dan kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan 5 kampung Orang Asli yang berdekatan sebagai Kampung Tradisi Orang Asli. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memastikan kebajikan Orang Asli dalam mencari sumber pendapatan terutama kepada nelayan-nelayan pinggir pantai akan terus diperkasakan melalui bantuan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Persatuan Nelayan Kawasan.
Untuk makluman jua, masyarakat orang asli diberikan peluang yang sama rata dengan masyarakat setempat dalam pembangunan Pelabuhan Carey ini, menerusi aktiviti-aktiviti yang bersesuaian bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan Pulau Carey. Antara aktiviti yang sesuai adalah pelancongan dengan memperkenalkan dan mempromosikan kebudayaan dah kraftangan masyarakat Orang Asli yang terkenal sangat unik dan halus.
Selain itu juga, JAKOA juga sedang dalam proses memperkasakan Pembangunan Modal Insan untuk memastikan anak-anak Orang Asli meneruskan persekolahan sehingga peringkat menengah untuk membantu mereka menceburi bidang-bidang yang bersesuaian. JAKOA juga akan menjalankan aktiviti atau program TVET yang bersesuaian bagi keperluan anak-anak Orang Asli di kawasan Pulau Carey ini.b) Melalui semakan pihak JAKOA, Kampung Orang Asli Sungai Kurau adalah kawasan Orang Asli Rizab Sakai yang berkeluasan 64.57 hektar dengan populasi seramai 254 orang penduduk. Kampung ini tidak terjejas dalam pembangunan yang dirancang di Pulau Carey.
-
Apakah status kampung orang asli Sungai Kurau dalam pembangunan Pelabuhan Carey?
Melalui semakan pihak JAKOA, Kampung Orang Asli Sungai Kurau adalah kawasan Orang Asli Rizab Sakai yang berkeluasan 64.57 hektar dengan populasi seramai 254 orang penduduk. Kampung ini tidak terjejas dalam pembangunan yang dirancang di Pulau Carey.