Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

2) GERAN PEMBANGUNAN SEKTOR SUKAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi atlet dan jurulatih sukan Negeri Selangor dan nyatakan jumlah geran pembangunan yang diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bagi setiap tahun?

    Kerajaan Negeri Selangor sangat komited dalam memastikan kecemerlangan atlet negeri sentiasa berada pada tahap yang terbaik seiring dengan matlamat untuk negeri Selangor kekal sebagai sebuah Negeri yang cemerlang di dalam bidang sukan di Malaysia.

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor telah merangka dan melaksanakan beberapa langkah atau strategi dalam meningkatkan prestasi atlet dan jurulatih sukan di Negeri Selangor. Pelbagai bentuk atau kaedah strategi yang dirancang dan dijalankan mengikut keperluan dan kesesuaian setiap sukan. Bagi meningkatkan prestasi atlet, antara perkara asas adalah program latihan fizikal dan teknikal yang berterusan, penggunaan peralatan yang terkini, keselamatan dan keselesaan pusat latihan dan penyertaan ke kejohanan untuk mengukur prestasi semasa.

    Selain itu juga, program sokongan yang lain seperti kem latihan atlet, program pengukuhan mental dan psikologi juga memainkan peranan yang penting dalam melahirkan atlet yang terbaik. Kesemua keperluan asas ini adalah diperlukan secara holistik dan berterusan untuk kemajuan dalam pembangunan prestasi atlet dari masa ke semasa.

    Bagi meningkatkan prestasi jurulatih pula, pihak Majlis sentiasa memberi pendedahan dan menyediakan platform pembelajaran berterusan kepada para jurulatih seperti ilmu teknikal yang terkini melalui kursus atau bengkel sains sukan, seminar kejurulatihan dan juga kursus teknikal berdasarkan spesifik sukan. Setiap jurulatih perlu meningkatkan kefahaman dan menambahbaik ilmu teknikal dalam sukan mereka kerana ianya penting untuk melatih atlet dengan teknik yang betul dan beretika.

    Selain itu, pihak Majlis juga telah mengambil inisiatif untuk membantu jurulatih lantikan Majlis ini untuk lebih proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan pasukan – pasukan luar negara agar dapat menimba ilmu secara langsung atau tidak langsung. Pihak Majlis telah menjalin kerjasama melalui Memorandum of Understanding (MOU) antaranya dengan Majlis Sukan Gyeonggi, Korea Selatan dan Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) Aceh bagi tujuan peningkatan ilmu kesukanan.

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa mencari platform baru untuk merangka dan mempelbagai serta memperhebatkan lagi program agar memberi impak yang positif kepada atlet dan jurulatih ini supaya mereka dapat menjalani latihan berterusan dan juga dapat mempertingkatkan prestasi mereka untuk tempoh jangkamasa panjang.

    Jumlah peruntukan tahunan yang diterima oleh Majlis Sukan Negeri Selangor daripada Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM 7Juta setahun. Peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri akan digunakan sebaiknya dalam melaksanakan program-program pembangunan sukan dan persediaan Kontinjen SUKMA Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.