Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

377) JOM SHOPPING PERAYAAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk meningkatkan jumlah penerima Jom Shopping Perayaan bagi tahun 2024?

    Sepertimana Yang Berhormat Morib sedia maklum, Program Pemberian Bantuan Baucar Untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Jom Shopping Perayaan merupakan program yang dilaksanakan pada setiap tahun oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan. Sehubungan dengan itu, melalui perbentangan Belanjawan Negeri Selangor oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada                      25 November 2022, Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan telah ditambah baik dengan kenaikan nilai bantuan daripada RM100.00 kepada RM200.00 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM16,480,000.00 yang mensasarkan seramai 82,400 orang penerima manfaat untuk ketiga-tiga buah perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

     

    Kerajaan Negeri tidak mengurangkan kuota sedia ada iaitu masih kekal kepada 82,400 penerima manfaat, malahan Kerajaan Negeri telah menambah peruntukan dua kali ganda untuk menjadikan nilai RM100.00 kepada RM200.00. Penambahbaikan kenaikan nilai baucar ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri yang memahami keperluan rakyatnya susulan situasi keadaan ekonomi terkini yang tidak menentu di mana harga barangan makanan dan keperluan asas meningkat secara mendadak. Oleh yang demikian, kenaikan nilai baucar kepada RM200.00 merupakan nilai yang munasabah untuk seisi keluarga yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan menyambut perayaan.

  2. Berapakah jumlah penerima dan jumlah peruntukan bagi Jom Shopping Perayaan 2023 terutama di DUN Morib?

    Untuk makluman Yang Berhormat, peruntukan bagi Program Jom Shopping Perayaan perlu dibahagikan kepada tiga (3) perayaan utama berdasarkan daftar pemilih terkini mengikut kaum yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sehubungan dengan itu, berdasarkan rekod, jumlah penerima dan jumlah peruntukan bagi Program Jom Shopping Perayaan Tahun 2023 bagi DUN Morib adalah seperti di jadual berikut :-

     

    BIL. PERAYAAN JUMLAH PENERIMA JUMLAH PERUNTUKAN (RM)
    1. Tahun Baru Cina 400 orang RM80,000.00
    2. Hari Raya Aidilfitri 700 orang RM140,000.00
    3. Deepavali 400 orang RM80,000.00
    JUMLAH KESELURUHAN 1,500 orang RM300,000.00

Lampiran

Tiada Lampiran.