Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
357) RUMAH MAMPU MILIK DI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri akan menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat negeri Selangor dalam tempoh 4 tahun sehingga 2028 merujuk kepada data permohonan rumah mampu milik yang dipohon di Selangor sehingga tahun 2023 sebanyak 164 055 permohonan?
Dasar Rumah Selangorku telah mula diperkenalkan pada tahun 2014. Sehingga 31 Januari 2024, terdapat 432 projek dengan 249,948 unit Rumah Selangorku telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Daripada jumlah tersebut 116 projek dengan 37,008 unit telah siap dibina dan diserahkan kunci, 61 projek dengan 23,835 unit sedang dalam pembinaan dan 255 projek dengan 189,105 unit lagi sedang dalam peringkat perancangan. Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pembangunan projek perumahan oleh pemaju-pemaju perumahan khususnya penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) di Negeri Selangor bagi memenuhi keperluan pemilikan rumah pemohon RMM.
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan rumah mampu milik mengikut spesifikasi, piawaian dan harga yang boleh dimiliki oleh pemohon golongan B40 di Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa mengkaji penambahbaikan dasar bagi memastikan ianya sentiasa relevan untuk dikuatkuasakan sejajar dengan situasi dan perkembangan semasa industri perumahan di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, pihak Kerajaan Negeri telah melancarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 3.0) yang memfokuskan kepada penambahbaikan spesifikasi Rumah Selangorku, piawaian pembangunan dan harga jualan yang menepati kehendak-kehendak golongan B40 di Negeri Selangor.
-
Apakah nama-nama Syarikat Pemaju yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik di Selangor pada Tahun 2022, 2023 dan 2024?
Pada tahun 2022 – 2023, terdapat beberapa pemaju yang telah bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dalam membangunkan Rumah Mampu Milik di antaranya adalah seperti Sime Darby Berhad, SP Setia Berhad, Eco World Development Group Berhad, Mah Sing Group Berhad, Gamuda Berhad dan KLK Land.