Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
352) ISU BANJIR DI SUNGAI PLONG
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Banjir di Anak Sungai Plong yang melibatkan Lorong Atap dan beberapa kawasan di Kg Cempedak. Apakah punca banjir berlaku di kawasan-kawasan ini?
Untuk makluman Yang Berhormat, kejadian banjir di Lorong Atap adalah berpunca daripada saliran keluar (outlet) kawasan pembangunan oleh pemaju Sime Darby ke saliran sedia ada yang mana kapasiti saliran tersebut adalah tidak mencukupi untuk menampung jumlah aliran air tersebut serta air larian hujan ketika kejadian hujan lebat. Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah mensyaratkan pihak pemaju untuk menaiktaraf sistem saliran tersebut sehingga ke Sungai Plong. Status kemajuan pelaksanaan projek adalah di peringkat permohonan pengambilan balik tanah kerana melibatkan tanah milik persendirian rizab Melayu.
-
Apakah cadangan penyelesaian yang bersifat jangka masa pendek dan jangka masa panjang?
Pihak pemaju perlu melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir di kawasan pemajuan mereka bagi memastikan tiada pertambahan air larian ke kawasan kampung berdekatan. Selain itu, kerja menaiktaraf sistem saliran keluar dari kawasan pemajuan ke Sungai Plong oleh pihak pemaju perlu disegerakan.
Bagaimanapun, bagi penyelesaian jangka masa panjang, JPS Negeri Selangor telah membuat permohonan projek baharu di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 RMKe-12 melalui JPS Malaysia untuk pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sg. Buloh Fasa 2. Cadangan pelaksanaan projek tersebut telah disenarai pendek oleh JPS Malaysia untuk diangkat bagi kelulusan oleh pihak Kementerian.