Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

317) PERANAN PENGERUSI JPKK ( KETUA KAMPUNG )

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah peranan ketua kampung dalam menjalankan tugas di kawasan yang dilantik? Apakah ciri - ciri dan asas perlantikan mereka supaya mereka ini lebih profesional dalam menjalankan tugas?

    Di antara peranan penting Ketua Kampung adalah memperjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri agar dapat memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat desa. Ketua Kampung bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan kampung dan selaras dengan arahan Kerajaan Negeri. Oleh itu, usaha memperjelas dasar-dasar Kerajaan Negeri dapat direalisasikan atau dapat diterapkan semasa perancangan dan pelaksanaan urusan pentadbiran dan operasi dijalankan dalam konteks untuk;

    • Mengenalpasti dan merancang projek-projek pembangunan masyarakat yang boleh meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk di dalam kampung selaras dengan dasar-dasar yang ditetapkan.
    • Menyusun keutamaan projek-projek yang hendak dilaksanakan.
    • Menyedia, mengemaskinikan dan mempamerkan maklumat serta data-data Profil Kampung.

    Perkara 5 di dalam Garis Panduan, Tatacara, Peraturan Mengenai Pelantikan Dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi Serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor telah menggariskan syarat-syarat yang menjadi asas penilaian seseorang individu untuk dilantik sebagai Pengerusi MPKK seperti berikut:

     

    1. Warganegara Malaysia, Keutamaan kepada anak kelahiran Selangor dan beragama Islam;
    2. Berumur di antara 30 hingga 65 tahun;
    3. Sekurang-kurangnya lulus SPM atau setaraf atau mendapat kelulusan khas daripada MMKN;
    4. Menetap di dalam kampung atau kawasan pentadbirannya dan telah bermastautin sekurang-kurangnya lima (5) tahun sebelum pelantikan;
    5. Tidak Muflis;
    6. Bebas daripada sabitan kesalahan jenayah;
    7. Disahkan sihat mental dan fizikal oleh Pegawai Perubatan;
    8. Bebas daripada penyalahgunaan dadah;
    9. Lulus tapisan keselamatan PDRM, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK);
    10. Bukan kakitangan kerajaan;
    11. Aliran pemikiran dan daya kepimpinan dapat diterima oleh masyarakat setempat dan pimpinan tempatan;
    12. Mengamalkan nilai integriti dan kepimpinan berwibawa; dan
    13. Merupakan pengundi yang berdaftar di kawasan DUN berkenaan.

    Secara amnya, syarat-syarat yang ditetapkan ini telah menjadi asas pertimbangan di dalam proses pelantikan Pengerusi MPKK dan rata-rata penyandang yang dilantik telah memberikan komitmen dan khidmat di dalam menggerakkan komuniti kampung untuk melaksanakan pembangunan demi kemajuan dan kesejahteraan kampung itu sendiri di samping menjadi perantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan permasalahan atau aduan kepada pihak-pihak berkuasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.