Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

305) DEWAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri bersedia untuk membuat live streaming semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) demi memartabatkan imej Dewan Negeri Selangor untuk menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan prosiding ini?

    Dewan Negeri Selangor sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi termasuklah dari sudut ketelusan dan kebertanggungjawaban.

    Dewan Negeri Selangor telah melaksanakan pindaan terhadap Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor pada tahun 2014 menerusi Kertas Bilangan 50 / 2014 dengan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi. Terma dan rujukan bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan adalah seperti yang terkandung dalam Peraturan Tetap 68(1) Dewan Negeri Selangor.

    Jawatankuasa yang membolehkan live streaming dilaksanakan sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Dewan hanya diperuntukkan bagi Jawatankuasa pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungiawaban dan Ketelusan (Special Select Committee On Competence, Accountability and Tranparency – SELCAT) sebagaimana yang diusulkan dan diluluskan di Dewan Negeri Selangor iaitu:

    “Walaupun apa yang diperuntukkan di bawah Peraturan 75, Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri, SELCAT berkuasa untuk mengadakan pendengaran awam, sama ada secara penuh atau sebahagian daripadanya dan keterangan-keterangan dalam pendengaran awam tersebut bolehlah disiarkan”.

    Amalan yang dilaksanakan di Parlimen Malaysia juga mendapati, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen turut tidak menjalankan pendengaran secara terbuka (live streaming) sebelum penyata dibawa ke Parlimen. Sekiranya pendengaran secara terbuka hendak dibuat oleh Parlimen Malaysia bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, maka Parlimen Malaysia perlu melaksanakan pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat 85, Dewan Rakyat Parlimen Malaysia iaitu:

    Keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan ара-ара surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa-siapa ahli Jawatankuasa itu, atau oleh siapa-siapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis.

    Juga Peraturan Tetap 75 Dewan Negeri Selangor juga bersifat in pari materia dengan Peraturan Mesyuarat 85 Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berpandangan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan Negeri Selangor setelah berbincang dan mencapai Keputusan dalam mesyuarat PAC, bolehlah mengemukakan perkara/cadangan tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungiawaban dan Ketelusan (Special Select Committee On Competence, Accountability and Tranparency-SELCAT) bagi sesuatu isu yang berbangkit sekiranya ingin mengetengahkan isu-isu yang berkepentingan awam, mustahak dan perlu disegerakan penyiasatannya melalui sesi pendengaran awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.