Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

296) KEMISKINAN TEGAR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah penduduk di DUN Bukit Melawati yang masih lagi dikategorikan sebagai
    miskin tegar?

    Merujuk kepada data pendaftaran Ketua Isi Rumah (KIR) di dalam sistem eKasih di bawah ICU, JPM, Selangor sehingga 31 Disember 2023, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang beralamat di kawasan DUN Bukit Melawati berstatus miskin tegar adalah sebanyak 41 orang KIR.

  2. Apakah inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menoktahkan isu miskin tegar?
    Bagaimanakah kerajaan memastikan bahawa informasi dan akses kepada program bantuan
    mencapai keluarga yang benar-benar memerlukan di Bukit Melawati?

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Melawati, Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (PPN Selangor) telah mengadakan Workcamp Focus Group Kesejahteraan Rakyat 2023 dengan menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi pemberi bantuan dan agensi pelaksana di peringkat persekutuan dan negeri. Antara objektif pelaksanaan workcamp ini adalah untuk menyediakan satu Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Tegar di Negeri Selangor yang komprehensif dalam merangka mekanisme pembasmian kemiskinan yang bersesuaian supaya ianya selari dengan matlamat dan hasrat kerajaan bagi usaha-usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Sebanyak lima (5) strategi utama yang telah digariskan iaitu memperkasa integriti data eKasih, melahirkan generasi muda yang berilmu dan berkemahiran, menyediakan kediaman yang kondusif, menjana pendapatan stabil dan memberdaya kehidupan berkualiti.

    Hasil dapatan daripada workcamp tersebut antaranya adalah dengan mengunci data Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar pada 31 Januari 2023 dan memberikan sepenuh fokus dan usaha dalam memastikan data ini berjaya dikurangkan seterusnya dapat menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini. Merujuk kepada data pendaftaran eKasih sehingga 31 Disember 2023, daripada jumlah data KIR Miskin Tegar yang telah dikunci iaitu seramai 7,203 KIR, ia telah menunjukkan penurunan sebanyak 72.5% dengan jumlah terkini seramai 1,979 KIR Miskin Tegar. Selain itu, menerusi workcamp ini juga turut diadakan sesi pemurnian data bagi mengemaskini maklumat bantuan oleh agensi pemberi bantuan ke dalam sistem eKasih bagi memastikan kredibiliti dan integriti data eKasih sentiasa dikemaskini, tepat dan konsisten.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan kepada usaha pembasmian kemiskinan dan usaha ini adalah antara tugas utama Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor selaras dengan halatuju Rancangan Selangor Pertama (RS1).

    Salah satu langkah kerajaan negeri memastikan bahawa informasi dan akses kepada program bantuan mencapai keluarga yang benar-benar memerlukan di Bukit Melawati adalah melalui Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan (MfGD) daerah. Melalui Mesyuarat Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Daerah (FGD) dan Mesyuarat Focus Group Pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan (MFGNg) peringkat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri sentiasa aktif dalam mengenalpasti masalah kemiskinan tegar di setiap daerah. Bantuan segera jangka masa pendek akan diberikan sekiranya bersesuaian dan Kerajaan Negeri Selangor turut merancang bantuan dan inisiatif jangka masa panjang bagi membantu golongan ini meningkatkan pendapatan bulanan dan seterusnya keluar dari kelompok kemiskinan tegar.

  3. Apakah rancangan jangka panjang kerajaan untuk menyokong kesinambungan hidup
    keluarga miskin tegar di Bukit Melawati, termasuk langkah mengurangi kebergantungan
    pada bantuan sosial?

    Antara rancangan jangka panjang kerajaan untuk menyokong kesinambungan hidup keluarga miskin tegar di Bukit Melawati termasuk langkah mengurangi kebergantungan pada bantuan sosial adalah melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP). ISP merupakan satu inisiatif berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutama keluarga miskin tegar. Ini adalah kerana ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori atau kluster iaitu :-

    i) Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor;

    ii) Iltizam Kesihatan Selangor;

    iii)  Iltizam Pendidikan Selangor;

    iv) Iltizam Perumahan Selangor;

    v) Iltizam Keusahawanan Selangor; dan

    vi) Iltizam Mesra Anak Selangor.

    Namun yang demikian, langkah yang dilihat bersesuian untuk mengurangi kebergantungan pada bantuan sosial adalah menerusi untuk jangka masa panjang adalah melalui kluster Iltizam Pendidikan Selangor dan Iltizam Keusahawanan Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.