Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
289) STOK BEKALAN MAKANAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Dalam pembentangan belanjawan yang lepas, kerajaan mengumumkan RM 50 juta sebagai
peruntukan untuk memastikan kerterjaminan makanan rakyat Selangor pada tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, berapakah yang telah diperuntukkan secara terus (direct cash)
kepada golongan petani, nelayan dan penternak di kawasan desa?Peruntukan jaminan bekalan makanan yang diumumkan YAB Dato Menteri Besar Selangor dalam Belanjawan yang lepas adalah sebanyak RM40 juta. Ia bukan bertujuan untuk diberikan kepada rakyat dalam bentuk sumbangan tunai sebaliknya ia bertujuan untuk memperkukuhkan sekuriti makanan Selangor menerusi projek stockpile makanan. Dana akan digunakan untuk pembelian produk makanan sebagai stockpile serta naik taraf infrastruktur dan fasiliti penyimpanan dan pengedarannya. Stockpile ini akan dikeluarkan untuk manfaat semua rakyat Selangor apabila berlakunya situasi kekurangan bekalan atau kenaikan harga yang mendadak.
-
Adakah pihak kerajaan bercadang untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan
khususnya dalam sektor pertanian dan perikanan dalam negeri? Sekiranya ada, apakah
pendedahan yang akan diberikan kepada petani, nelayan dan penternak tradisional
khususnya di kawasan desa?Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum lagi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian tetapi pelbagai program dan insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam membangunan pengusaha-pengusaha pertanian di Negeri Selangor telah dilaksanakan. Agensi-agensi Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai projek dan program untuk menggalakkan serta membantu para petani mengembangkan usaha tani mereka melalui pelbagai bentuk insentif.
Antara insentif yang disediakan adalah dari segi pembangunan infrastruktur ladang, bantuan input dan peralatan pertanian dan juga pembangunan modal insan petani melalui latihan, kursus dan program pemindahan teknologi yang lain. Selain insentif tanaman makanan, Jabatan Pertanian juga membantu dalam membangunkan usahawan-usahawan Industri Asas Tani yang merupakan industri hiliran bagi rantaian bekalan makanan negara.
Kerajaan Negeri juga tidak bercadang untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan dalam sektor penternakan buat masa ini. Justitifikasi kepada keputusan ini adalah kecerdasan buatan dalam sektor penternakan masih tidak boleh menyamai permerhatian, pertimbangan serta tindakan insani dalam banyak operasi penting sesebuah ladang penternakan seperti mengesan kebuntingan, memantau kejadian penyakit, keperluan pemakanan, mengawal pergerakan ternakan dan sebagainya. Malahan, teknologi ini menggunakan kos besar yang dijangka menjejaskan pendapatan penternak.
Sebagai alternatif, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS Selangor) lebih menumpukan usaha-usaha kepada meningkatkan mekanisasi ladang dan pemantauan jarak jauh (remote monitoring) ke atas ternakan dan pekerja-pekerja.
Dalam sektor perikanan, teknologi AI atau kecerdasan buatan telah mengalami evolusi yang ketara dalam industri perikanan global. Ianya memainkan peranan penting dalam pengesanan dan pengelasan spesies, pemantauan masa nyata aktiviti memancing, pengoptimuman laluan dan strategi memancing, populasi ikan dan ramalan stok ikan, pengurangan tangkapan sampingan, dan peningkatan kemampanan.
Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam industri perikanan menawarkan pelbagai kelebihan, daripada meningkatkan kecekapan operasi kepada menggalakkan kemampanan dan pengurusan sumber perikanan. Beberapa kelebihan utama termasuk:
- Pengoptimuman operasi dan peningkatan kecekapan.
- Penggalakan amalan perikanan mampan.
- Pengurangan tangkapan tidak sengaja.
- Peningkatan kualiti dan kebolehkesanan.
- Ramalan keadaan persekitaran marin.
- Pengurangan kos operasi.
- Inovasi dalam akuakultur.
Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam industri pertanian, penternakan dan perikanan menawarkan pelbagai kelebihan, daripada meningkatkan kecekapan operasi kepada menggalakkan kemampanan dan pengurusan sumber. Kerajaan Negeri akan mengkaji Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang bersesuaian dan diperkenalkan kepada para petani, , penternak dan nelayan di Negeri Selangor.