Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

281) PELABURAN LUAR NEGARA UNTUK PEMBANGUNAN NEGERI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menarik lebih ramai pelabur dari luar negara untuk melabur di barat Selangor terutama di kawasan DUN Jeram?

    Dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri, Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan program – program promosi bagi menarik pelaburan asing dan tempatan untuk melabur di Selangor tanpa membataskan kepada sesuatu kawasan yang khusus. Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa mempromosikan kawasan – kawasan industri yang berpotensi kepada para pelabur dari dalam mahupun dari luar negara. Antara kawasan industri dalam DUN Jeram yang dipromosikan seperti kawasan perindustrian di Puncak Alam.

  2. Sekiranya ada, apakah bentuk usaha yang telah dan akan dilakukan?

    Antara usaha yang dilaksanakan dalam meningkatkan pelaburan seperti;-

    1. mempromosikan kawasan – kawasan atau tanah industri kepada pelabur yang berpotensi sama ada untuk pembangunan projek baru ataupun projek penambahan pelaburan sedia ada.
    2. Mengadakan program libat urus dan pertemuan bersama dewan – dewan perniagaan dan pelabur sedia ada melalui program lawatan kilang dan juga Mesyuarat IPMC bersama pekilang.
    3. Membantu menyelesaikan permasalahan pelabur yang berbangkit dalam usaha menggalakkan projek penambahan pelaburan sedia ada.
    4. Mewujudkan Unit Pelaburan dan perlantikan Pegawai Pelaburan di setiap PBT agar usaha promosi pelaburan dapat dilaksanakan secara menyeluruh samada diperingkat negeri mahupun di peringkat Kerajaan Tempatan.
  3. Apakah sasaran serta butiran perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri dalam menarik pelaburan ini bagi setiap sektor?

    Kerajaan Negeri mensasarkan pelaburan berjumlah RM 50 bilion untuk sektor perkilangan dan perkhidmatan bagi tahun 2024.

    Perancangan dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha menarik pelaburan dalam sektor ini adalah terangkum dari aspek penyediaan polisi seperti Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelan pembangunan wilayah baharu seperti IDRISS serta program tahunan berskala  besar seperti Selangor International Business Summit (SIBS) dan Selangor Aviation Show (SAS).

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga giat menjalankan program promosi penggalakan pelaburan dengan pertemuan secara fizikal mahupun virtual dengan pihak dewan-dewan perniagaan di Malaysia dan luar negara termasuk misi-misi pelaburan yang akan terus diatur dan dilaksanakan.

    Industri tumpuan yang akan terus diberi penekanan adalah seperti Sains Hayat, Pembuatan Makanan dan Minuman (F&B), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik, Kelengkapan Pengangkutan seperti industri Aeroangkasa dan Dron serta Mesin dan Peralatan.

    Bagi sektor perkhidmatan pula, Kerajaan telah mengenal pasti sektor yang berpotensi untuk berkembang di Selangor antaranya industri Perkhidmatan Logistik dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.

    Pelbagai inisiatif lain untuk menggalakkan pelaburan di Selangor adalah seperti Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program, iaitu satu program untuk membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan dengan sokongan – sokongan pelaburan yang diperlukan.

    Bagi sektor pembangunan Sains Hayat pula, program ’Selangor Lab Partnership’ diperkenalkan untuk merapatkan jurang antara pihak institusi pendidikan dan industri supaya penyelidikan-penyelidikan dapat diusahakan secara kolaborasi yang lebih jitu dan produk-produk dapat mencapai keberhasilan untuk dipasarkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.