Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

271) KEMISKINAN DAN MISKIN BANDAR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan beza antara miskin, miskin bandar dan fakir di Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat Sabak, Kerajaan Negeri Selangor menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi sebagai penanda aras bagi penentuan taraf hidup di negeri ini. Penanda aras tersebut adalah digunapakai untuk memberi definisi dan penentuan taraf Miskin dan Miskin Bandar. Walau bagaimanapun, dalam konteks Agama Islam definisi miskin, fakir dan asnaf adalah berbeza dan penanda aras bagi penentuan taraf hidup adalah berlainan dengan penanda aras PGK.

  2. Nyatakan statistik lengkap kumpulan miskin, miskin bandar dan fakir bagi tiap-tiap daerah.

    Statistik berkaitan dengan pendapatan isi rumah diperoleh melalui Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS & BA). Survei ini dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahum dan laporan yang terkini adalah bagi tahun 2022 yang telah diterbitkan pada Julai 2023. Laporan ini memaparkan maklumat statistik berkaitan taburan pendapatan dan juga statistik kemiskinan isi rumah di peringkat nasional, negeri serta daerah pentadbiran, bagi isi rumah warganegara sahaja.

    Di Malaysia, kaedah pengukuran kemiskinan mutlak dengan menggunakan pendekatan Kos Keperluan Asas akan menetapkan satu paras keperluan minimum yang dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Komponen PGK ini terdiri daripada dua kategori iaitu PGK makanan dan PGK bukan makanan. Nilai PGK makanan diperoleh melalui penetapan keperluan kalori bagi setiap ahli di dalam sesebuah isi rumah dengan mengambil kira faktor jantina, kumpulan umur dan lokasi tempat kediaman. Nilai PGK bukan makanan pula ditentukan berdasarkan kepada corak perbelanjaan dan keperluan asas isi rumah berpendapatan rendah yang diperoleh melalui Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang mengambil kira ciri-ciri demografi, komposisi isi rumah dan lokasi tempat kediaman.

    Sesebuah isi rumah dikategorikan sebagai miskin mutlak jika pendapatan  isi rumah berada di bawah paras nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) isi rumah tersebut. Isi rumah miskin di kawasan bandar adalah merujuk kepada isi rumah di kawasan bandar yang mempunyai pendapatan di bawah paras PGK bagi isi rumah tersebut berdasarkan ciri-ciri demografi, komposisi isi rumah dan lokasi tempat kediaman isi rumah tersebut.

    Statistik lengkap kumpulan miskin, miskin bandar adalah seperti berikut :-

    Insiden kemiskinan mutlak bagi isi rumah mengikut strata di negeri Selangor pada tahun 2022 adalah seperti Jadual 1.

     

    Jadual 1: Insiden Kemiskinan Mutlak mengikut Strata, Selangor, 2019 dan 2022

    Negeri/ Strata

    Insiden Kemiskinan Mutlak(%)

    2019 2022
    Selangor 1.2 1.5
    Bandar 1.1 1.5
    Luar bandar 2.0 3.1

    Nota: Strata kawasan bandar ditarif sebagaimana yang telah digunkan dalam Banci Penduduk dan Perumahan 2020. Kawasan bandar ialah kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk seramai 10,000 orang atau lebih semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

    Insiden kemiskinan mutlak bagi isi rumah mengikut daerah pentadbiran di negeri Selangor pada tahun 2022 adalah seperti Jadual 2.

     

    Jadual 2: Insiden Kemiskinan Mutlak mengikut Dearah Pentadbiran,

    Selangor, 2019 dan 2022

    Negeri/ Daerah pentadbiran Insiden Kemiskinan Mutlak (%)
    2019 2022
    Selangor 1.2 1.5
    Gombak 0.4 2.4
    Klang 1.7 2.2
    Kuala Langat 2.4 0.3
    Kuala Selangor 3.5 2.8
    Petaling 1.1 1.6
    Sabak Bernam 4.7 5.3
    Sepang 0.7 0.0
    Hulu Langat 0.6 0.5
    Hulu Selangor 1.5 1.7

     

     

    Statistik fakir mengikut daerah adalah seperti berikut :-

    DAERAH FAKIR (Sumber laman sesawang Zakat Selangor)
    PETALING 3,542 orang
    GOMBAK 1,996 orang
    KLANG 3,357 orang
    KUALA SELANGOR 1,337 orang
    KUALA LANGAT 2,023 orang
    SEPANG 1,084 orang
    HULU LANGAT 3,664 orang
    HULU SELANGOR 1,385 orang
    SABAK BERNAM 698 orang

Lampiran

Tiada Lampiran.